Syarat layak pendapatan isi rumah Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak naik
Permohonan dibuka kepada penyewa yang bekerja di bandar Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri. Gambar hiasan |
KUCHING—Syarat kelayakan pendapatan isi rumah bagi permohonan Skim Bantuan Sewa Kediaman (SRAS) kini dinaikkan kepada RM3,500 sebulan daripada RM2,131 sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak Mohamad Asman Ahmad berkata kerajaan negeri telah memperuntuk RM48 juta untuk skim itu yang dijangka member manfaat kepada kira-kira 20,000 isi rumah layak.
"Kenaikan syarat kelayakan pendapatan isi rumah ini diharap dapat membantu meringankan beban kewangan ditanggung golongan berpendapatan rendah terutamanya golongan miskin bandar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dibuka kepada penyewa yang bekerja di bandar Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, SRAS adalah skim bantuan sewa sebanyak RM200 sebulan, selama 36 bulan atau tiga tahun maksimum.
Penyewa berminat boleh mendapatkan maklumat dan memuat turun borang permohonan SRAS secara percuma di laman web HDC https://hdc.sarawak.gov.my atau menghubungi HDC di talian 082-444381.
Mengulas lanjut, Mohamad Asman berkata kriteria permohonan SRAS adalah warganegara Malaysia, pemastautin tetap di Sarawak dan memiliki Mykad dengan status ‘k’ manakala penerima bantuan e-kasih juga dialu-alukan untuk memohon.
“Antara kriteria lain termasuk berumur 21 tahun ke atas, berkahwin, bapa atau ibu tunggal dan sekurang-kurang mempunyai seorang anak tinggal bersamanya. Keutamaan juga akan diberi pada pemohon Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.
Beliau berkata borang yang lengkap juga hendaklah dihantar ke pejabat HDC di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
“Permohonan yang menepati kriteria akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemilihan SRAS untuk diproses,” katanya.
-- BERNAMA