Runtuhan konkrit di Oxley Tower, seorang buruh binaan maut tertimbus

Anggota bomba berada di lokasi kejadian runtuhan konkrit di Oxley Tower, Jalan Ampang di sini. Gambar kredit Bomba KL

KUALA LUMPUR— Seorang pekerja binaan warga Bangladesh ditemukan meninggal dunia selepas tertimbus dalam runtuhan konkrit di tingkat 51 bangunan yang masih dalam pembinaan di Oxley Tower, Jalan Ampang di sini.


Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, mereka menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 12.23 tengah malam tadi dan terus menggerakkan anggota ke tempat kejadian.


Komander Operasi Kanan Nurul Adha Abdul Majid berkata setibanya mereka di lokasi kejadian mendapati berlaku runtuhan konkrit di tingkat 51 bangunan dalam pembinaan yang menyebabkan seorang lelaki tertimbus. 


“Anggota bomba bertindak memotong dan memecahkan besi konkrit bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan dan mangsa berjaya dibawa keluar daripada timbunan konkrit pada 7.21 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mangsa berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir di tempat kejadian.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post