Notification

×

Iklan

Iklan

Kerja mobilisasi projek LCS dijangka selesai hujung tahun ini, kata Hishammuddin

| September 27, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-09-27T08:58:01Z
Hishammuddin  (tengah) dan Khairy (kiri) semasa melawat Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju di sini hari ini.

KUALA LUMPUR—Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin kerja-kerja mobilisasi projek Kapal Tempur Persisir (LCS) dapat disempurnakan hujung tahun ini seperti yang dijadual.


Hishammuddin berkata maklumat lengkap mengenai perkembangan mobilisasi itu akan beliau umumkan dalam masa terdekat.


Beliau berkata setakat hari ini pihaknya berjaya menghidupkan kembali hubungan dengan syarikat pembekal dan vendor projek berkenaan dari dalam dan luar negara.


“Pihak Kementerian Pertahanan juga telah berbincang dengan bank-bank yang terlibat dalam projek ini bahawa kerajaan telah putuskan projek pembinaan kapal LCS ini akan diteruskan dan kita harap pada hujung tahun ini proses mobilisasi ini dapat mencapai kehendak kita dan seterusnya ke proses pembinaan kapal pertama,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju di sini hari ini.


Turut hadir Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.


Ogos lepas, Kementerian Pertahanan diberi masa enam bulan bagi memobilisasikan usaha menghidupkan semula projek itu, dan beliau percaya kapal pertama akan diterima TLDM dalam masa dua tahun lagi.


Pada 4 Ogos lepas, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendedahkan tiada satupun LCS disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu memperuntuk lima daripada enam kapal itu seharusnya disiap dan diserah setakat Ogos 2022.


Pada 11 Ogos Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan telah melengkapkan kertas siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update