Tiga kanak-kanak antara 32 PATI ditahan cuba masuk Sarawak

Gambar kredit Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia 


KUCHING— Cubaan 32 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia meloloskan diri ke Sarawak secara tidak sah digagalkan Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen).


Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, kesemua mereka diusir semasa rondaan Op Benteng oleh Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Bgd) jam 3.45 petang hari ini.


"Anggota petugas yang terdiri daripada tujuh orang anggota sedang melaksanakan rondaan sektor Pos Kandaie telah terserempak dengan sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan di lokasi ladang kelapa sawit, 150 meter dari arah sempadan Malaysia-Indonesia.


Mereka memasuki negara ini melalui jalan yang tidak sah dengan menggunakan motosikal," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, pemeriksaan awal mendapati PATI yang terdiri daripada 20 lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa warga negara Indonesia berusia sekitar 17 hingga 56 tahun dan tiga orang kanak-kanak berusia sembilan bulan hingga tiga tahun tidak memiliki dokumen rentas sempadan yang sah.


"Tiada barangan terlarang yang ditemui selain pakaian dan barangan peribadi melibatkan 19 buah motosikal dianggarkan bernilai RM51,500, wang tunai mata wang Indonesia berjumlah IDR 33,328,000.00 (RM 10,000) dan 24  telefon bimbit.


"Keseluruhan barangan yang diperiksa dianggarkan berjumlah RM100,667.80,"ujarnya.


Katanya,kesemua PATI telah diusir pulang pada 5.30 petang kepada wakil Tentara Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD) di Pos Kumba Semuying setelah laporan polis yang dibuat di Balai Polis Lundu.


"Tentera darat terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara tanpa sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak COVID-19," tegasnya.

Next Post Previous Post