Notification

×

Iklan

Iklan

RUU larangan lompat parti dijangka kuat kuasa sebelum pertengahan September

| Ogos 09, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-09T13:19:26Z

Datuk Seri Dr Wan Junaidi semasa sidang media susulan Sesi Penggulungan dan Undian RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Bangunan Parlimen di sini hari ini.


KUALA LUMPUR—Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan Dewan Negara hari ini dijangka dapat dikuatkuasakan tidak lewat daripada pertengahan September ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata jangkaan itu bersesuaian dengan garis masa yang diperlukan untuk rang undang-undang itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


“Saya cukup yakin Tuanku peka dengan rang undang-undang ini dan kalau jangkaan saya tepat, tidak lewat pertengahan bulan September (penguatkuasaannya).


Kita memang berharap (untuk dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)). Saya tidak boleh meneka tetapi apabila kita hantar ke istana, kita perlu beri masa untuk Tuanku melihat, meneliti dan mengkaji rang undang-undang ini sebelum memberi perkenan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika ditanya jangka masa rang undang-undang itu dapat dikuatkuasakan dan adakah ia dapat dilaksanakan sebelum PRU-15 diadakan.


Terdahulu rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Negara selepas memperoleh masing-masing sokongan 52 daripada 60 senator selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Negara. 


Wan Junaidi berkata selepas diluluskan, rang udang-undang berkenaan seterusnya akan melalui proses perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan sebelum undang-undang itu dapat diwarta, kemudian mula dikuatkuasakan.


Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata implikasi cadangan untuk mengadakan pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau “recall election" perlu dikaji dengan lebih mendalam sebelum ia dapat dijadikan rang undang-undang. 


Katanya kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti ahli politik, badan bukan kerajaan dan masyarakat madani  bagi membincangkan cadangan itu yang bertujuan menghalang wakil rakyat yang diberikan mandat sewaktu pilihan raya daripada melompat parti.


Beliau berkata perkara itu juga perlu diperhalusi memandangkan negara-negara yang mengamalkan undang-undang berkenaan menghadapi masalah tersendiri berhubung pelaksanaannya.


“Oleh demikian, kita perlu belajar daripada apa yang mereka hadapi serta alami dan daripada itu nanti kita akan kaji. Buat masa ini,  ia belum dibentangkan kepada jemaah menteri,” katanya.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update