KPDNHEP kaji cadangan GLC jadi pembungkus minyak masak bersubsidi

Alexander, Pameran Pertanian Hortikultur, Agropelancongan Malaysia, KPDNHEP, Cadangan GLC, Minyak Masak, Berita Malaysia
Alexander melawat Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini.


KUALA LUMPUR— Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengkaji cadangan membenarkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membungkus minyak masak polibeg bersubsidi bagi mengekang ketirisan produk itu.


Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia adalah antara cadangan yang akan dipertimbangkan.


“Bagaimanapun kita akan teliti dahulu bagaimana GLC ini boleh membantu lebih 300 syarikat pembungkusan yang kita lesenkan, kita lihat bagaimana syarikat ini boleh membantu pengagihan supaya seluruh negara akan mendapat minyak ini, tidak ada negeri yang kurang dan tidak ada yang terlebih,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas melawat reruai KPDNHEP sempena Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.


Mengulas mengenai laporan ada peniaga di negeri tertentu  yang menjual minyak masak dalam botol melebihi harga maksimum, Alexander berkata, peniaga-peniaga terbabit diminta supaya mematuhi harga ditetapkan yang bermula semalam.


“Tetapi jika ia berterusan kita akan ambil tindakan untuk mengelak ia memberi kesan kepada golongan pengguna,” katanya.


Sementara itu, Alexander berkata minyak masak dalam paket yang terapung di perairan Indonesia seperti yang tular di media sosial baru-baru ini bukan milik Malaysia.


Beliau berkata dari maklumat yang diterima minyak masak tersebut adalah milik Indonesia.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.