Empat individu didakwa racun burung merpati

Empat individu didakwa, Racun burung merpati, Warga Indonesia, Berita Malaysia

SHAH ALAM—Empat individu termasuk dua lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberikan bahan beracun kepada sekumpulan burung merpati, bulan lepas.


Dua warga Indonesia Fathur Rosi Arsijo, 22, dan Abdul Rahman Sauji, 32, kedua-duanya pekerja pembersihan mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.


Bagaimanapun, dua pembantu tadbir wanita Noor Hazirah Masuan, 32, dan Nurul Najwa Shafikah Zukri, 22, yang turut didakwa atas pertuduhan sama mengaku tidak bersalah.


Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama tanpa kebenaran yang sah atau sebab yang munasabah memberikan bahan beracun kepada sekumpulan burung merpati di hadapan pekarangan sebuah kilang di Batu Tiga di sini pada 3.53 petang, 21 Julai lepas.


Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.


Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Sept ini sebagai tarikh untuk membacakan fakta kes dan menjatuhkan hukuman terhadap Fathur Rosi dan Abdul Rahman, serta sebutan dan serahan dokumen untuk dua tertuduh wanita.


Rasyihah juga membenarkan kedua-dua wanita warga tempatan itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.


Kedua-dua warga Indonesia itu pula tidak ditetapkan sebarang jaminan kerana mereka kini ditahan di bawah Akta Imigresen. 


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Mohd Sharif Sabran manakala peguam Nur Iwani Izzaty mewakili Noor Hazirah dan Nurul Najwa Shafikah, dan dua warga Indonesia tidak diwakili peguam.


Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kejadian kira-kira 100 ekor burung merpati mati dan dilonggokkan di satu kawasan selepas dipercayai memakan dedak yang diberikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.