Serah kepada warganegara Indonesia sendiri-Karim


KUCHING-- Terserah kepada warganegara Indonesia sendiri sama ada memilih mendapatkan perkhidmatan rawatan hospital swasta di Sarawak  dan menjadi pelancong perubatan atau sebaliknya.


Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia berikutan permintaan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang mahu rakyat negara itu berhenti mendapat rawatan di luar negara baru-baru ini.



"Perkara ini adalah tertakluk kepada individu (warga Indonesia) sendiri sama ada mahu menerima rawatan yang dikendalikan hospital swasta di Sarawak atau sebaliknya," katanya.


Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran dan Flag Off Ekspedisi  Bermotosikal Sempena Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Pejabat Pendidikan Negeri Sarawak, Petra Jaya, di sini, hari ini.

 

Abdul Karim mengulas laporan Presiden  Jokowi menyeru rakyat negara itu berhenti terima rawatan di luar negara dan mendapatkan rawatan di hospital tempatan.



Jokowi turut mendedahkan bahawa wang  dibelanjakan untuk membiayai rawatan warga Indonesia di luar negara adalah melebihi 110 trilion rupiah (RM32 bilion) setiap tahun.


Abdul Karim berkata adalah perkara biasa bagi rakyat Indonesia mendapatkan rawatan dan menjadi pelancong perubatan di negara ini atau negara lain kerana peningkatan ekonomi negara jiran terbabit.


"Kalau di Sarawak, kemungkinan adalah mereka datang dari Kalimantan Barat dan berkunjung ke bandar raya Kuching untuk mendapat rawatan perubatan,"katanya.


Beliau berkata, Sarawak merekodkan seramai 47,000 pelancong perubatan dengan seramai 41,000 kehadiran pelancong dari Indonesia yang menyokong industri perhotelan, pengangkutan dan makanan di negeri ini sebelum pandemik Covid-19 melanda pada tahun 2019.


"Kedatangan pelancong perubatan dari Indonesia telah menyemarakkan sektor pelancongan di Sarawak dengan membawa pulangan kewangan lebih besar," ujarnya.


Menurutnya,mereka tidak tinggal sehari dua dan juga tidak datang seorangan tetapi seluruh keluarga mereka akan datang bersama.


"Ini akan menyokong industri perhotelan, pengangkutan dan makanan kita, menyebabkan pusat perubatan swasta muncul dengan banyak di bandaraya Kuching," katanya.

Next Post Previous Post