Ibu tunggal didenda buat hantaran jelik berhubung majlis solat hajat Covid

Ibu tunggal didenda, Hong Jia Ming, OKS, Penghantaran komunikasi jelik, Berita Malaysia

KUALA LUMPUR—Seorang ibu tunggal didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membuat penghantaran komunikasi jelik berhubung majlis solat hajat berkaitan COVID-19 di Facebook miliknya, dua tahun lepas.


Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas Hong Jia Ming, 34, selaku orang kena saman (OKS) selepas wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.


Mahkamah turut memerintahkan perunding di sebuah syarikat swasta itu menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Wanita itu membayar denda berkenaan.


Sebelum dijatuhkan hukuman, Hong memohon maaf kepada mahkamah atas perbuatannya yang menyinggung perasaan orang lain.


Mengikut pertuduhan, Hong didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik berkenaan menggunakan akaun Facebook “Joyceanne Hong” dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 9.22 malam, 12 Mac 2020. 


Hantaran itu kemudian dibaca di Masjid Muadz Bin Jabal, Wangsa Maju di sini pada 12.41 tengah hari pada 13 Mac 2020.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS termasuk orang awam supaya tidak membuat sebarang hantaran di media sosial yang boleh mengganggu keharmonian dan perpaduan negara.


"Walaupun hantaran itu di ‘Facebook Story’, ia tetap kekal berada dalam akaun media sosial tersebut seperti bahagian kotak undian ‘So stupid’ atau ‘Support them’ telah mendapat sambutan dalam kalangan kawan-kawan di Facebook OKS," katanya.


Beliau berkata hantaran itu telah tular di kumpulan WhatsApp bekas syarikat wanita berkenaan dan telah dimuat naik oleh OKS yang mencabuli hak kebebasan bersuara seperti mana yang diperuntukkan setiap individu warganegara Malaysia.


Peguam Haijan Omar yang mewakili Hong memohon supaya anak guamnya dikenakan bon berkelakuan baik atau hukuman denda minimum dengan mengambil kira wanita itu menanggung seorang anak lelaki berumur  sembilan tahun, selain mempunyai masalah sakit jantung. 


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.