Mahkamah putuskan permohonan Rewcastle-Brown cabar dakwaan fitnah, pramatang


KUALA LUMPUR—Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa adalah terlalu awal untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan pertuduhan fitnah jenayah terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown mematuhi perlembagaan.


Sehubungan itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata beliau memutuskan untuk tidak mempertimbangkan merit permohonan Rewcastle-Brown untuk merujuk dua persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.


Beliau berkata permohonan Rewcastle-Brown untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur perlu didengar dan diputuskan terlebih dahulu.


Rewcastle-Brown boleh mengemukakan permohonan untuk merujuk dua persoalan undang-undang itu, jika kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, katanya sambil menambah bahawa mahkamah belum memutuskan sama ada untuk membenarkan permohonannya untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.


“Saya berpendapat Seksyen 84(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 hanya terpakai jika prosiding didaftarkan di Mahkamah Tinggi,” katanya.


Pada September tahun lepas, Rewcastle-Brown didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku ‘The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose’.


Beliau kemudian membuat permohonan untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang ditetapkan untuk pendengaran pada 29 Mac 2022.


Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menetapkan 12 Dis untuk mendengar permohonan untuk memindahkan kes itu sementara menunggu pendengaran permohonan Rewcastle-Brown untuk merujuk dua persoalan undang-undang itu ke Mahkamah Persekutuan.


Pada 21 Nov 2018, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman fitnah dengan menamakan Rewcastle-Brown, Penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan syarikat percetakan, Vinlin Press Sdn Bhd, selaku defendan pertama hingga ketiga.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post