Ahli perniagaan mengaku tidak salah tipu RM1.9 juta


GEORGE TOWN, 12 Ogos (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas lapan pertuduhan menipu seorang pengarah syarikat bagi menyelesaikan kes cukai rokok dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Eksais Diraja Malaysia membabitkan nilai RM1.9 juta.


Chan Eng Leong, 48, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Khalid Abdul Karim dan Hakim Mazdi Abdul Hamid.


Chan didakwa menipu Goh Kim Heong, 39, pengarah syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn Bhd dengan memperdayakan lelaki itu, untuk mempercayai dia boleh menyelesaikan kes cukai rokok dengan pihak JKDM dan Jabatan Eksais DiRaja.


Perkara ini telah mendorong mangsa untuk memindahkan 1,810,020 unit saham bernilai keseluruhan RM1,895,020 kepada syarikat Natural Transforms Sdn Bhd milik Chan dan perbuatan itu didakwa dilakukan pada 24 April, 11 Jun dan 15 Ogos 2019 di alamat No 29, Green Hall di sini.


Chan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun dan makismum 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd Shukri, Mohammad Nazri Abdul Rahim dan Teh Li Siew dan Chew Qi Wei, manakala tertuduh diwakili peguam R.S.N Rayer dan R. Arvend.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM230,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan mengarahkan Chan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri kepada pegawai penyiasat kes setiap bulan dan dilarang berjumpa serta mengganggu pengadu dan saksi kes.


Kes akan disebut semula pada 27 Sept.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post