Pembakaran terbuka punca Sri Aman berjerebu

Udara di Sri Aman tercemar, Pembakaran terbuka, Udara di Sri Aman, Indeks Pencemar Udara, Berita Malaysia

PUTRAJAYA—Bacaan kualiti udara tidak sihat dicatatkan di stesen Sri Aman, Sarawak hari ini berpunca daripada pembakaran terbuka di kawasan pertanian berhampiran dengan stesen tersebut, kata Ketua Pengarah Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.


Beliau berkata bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dalam portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) pada 9 pagi menunjukkan 55 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana. 


“Sebanyak 12 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.


Merujuk kepada laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC)  semalam, Wan Abdul Latiff berkata terdapat enam titik panas (hotspot) dikesan dalam negara iaitu dua di Pahang, satu di Perak dan tiga di Sarawak.


Bilangan titik panas itu dikesan melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 dan ia akan disiasat di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.


“Selain itu, terdapat 97 titik panas dikesan di Kalimantan dan 70 titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia.


“Peta jerebu serantau yang ditunjukkan oleh ASMC menunjukkan bahawa jerebu asap sederhana diperhatikan di sekitar gugusan titik panas yang dikesan di Kalimantan Barat dan Sarawak,” katanya.


Beliau menasihatkan penduduk berhampiran kawasan yang IPU melebihi 150 agar mengurangkan aktiviti di luar rumah atau bangunan dan jika perlu berada di luar mereka dinasihatkan untuk memakai pelitup muka.


“Semua pihak terus diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah,” katanya menambah mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.


Sementara itu, Wan Abdul Latiff berkata Monsun Barat Daya telah bermula pada 14 Mei lepas dan dijangka berterusan sehingga pertengahan September ini.


“Semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil. Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh itu.


"Kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain dan menyebabkan taburan hujan yang rendah,” katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar