Pembangkang tempatan Sarawak tubuh perikatan menentang GPS

(dari kiri) Lina, Othman dan Bobby menandatangani MoU bagi menubuhkan perikatan menentang GPS

KUCHING—Satu pakatan baharu telah dibentuk melibatkan tiga parti pembangkang tempatan di Sarawak bagi menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Pembentukan pakatan tersebut diwujudkan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) hari ini antara Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB).


Menurut Pengerusi Tetap PDBS Dr John Brian Anthony, penubuhan pakatan tersebut akan dikenali sebagai Gagasan Rakyat Sarawak (GAGASAN).


“GAGASAN ini dibentuk bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri seperti mana yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Disember lepas yang memberi kelebihan besar kepada GPS.


"Ia bukan sekadar untuk menghadapi pilihan raya akan datang, tetapi sebagai usaha mengukuhkan peranan dan perjuangan parti-parti yang sebelum ini bergerak bersendirian.


"Cukup-cukuplah kami digelar parti nyamuk, dan kini kami bergerak seiring dan bersama,” kata Jurucakap GAGASAN terbabit pada majlis MoU bagi membentuk Gagasan di Hotel Hilton di sini, hari ini.


MoU tersebut ditandatangani oleh Presiden PBDS, Bobby William, Presiden Aspirasi, Lina Soo dan Presiden Sedar, Datuk Othman Abdillah.


Sementara itu, Othman berkata GAGASAN akan meletakkan calon di semua 31 kawasan parlimen di Sarawak pada PRU-15 akan datang.


“Seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12), kami bersaing sesama sendiri dan ini memberikan kelebihan kepada GPS.


“Justeru GAGASAN ini dibentuk supaya kita dapat memberi saingan kepada GPS,” katanya.


Dalam pada itu, Lina turut menzahirkan keyakinan bahawa parti-parti pembangkang yang lain akan menyertai GAGASAN sekali gus membolehkan perikatan tersebut mampu meletakkan calon di kesemua kerusi parlimen nanti.

Next Post Previous Post