Polis rampas diesel bersubsidi RM223,290

Polis serbu sebuah stor penyimpanan diesel di Jalan Kampung Ulu Semera, Asajaya semalam. Gambar kredit PDRM

KOTA SAMARAHAN—Dua lelaki dicekup polis disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel dalam serbuan di Jalan Kampung Ulu Semera, Asajaya di sini semalam.


Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Superintendan Sudirman Kram berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak semasa menjalankan serbuan di stor penyimpanan diesel di kawasan itu.


“Dalam serbuan sekitar jam 2.20 petang itu, pasukan serbuan turut merampas diesel dianggarkan bernilai RM223,290.


“Pemeriksaan di dalam stor menjumpai beberapa buah tangki berisi diesel yang merupakan barang kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Sudirman, pemeriksaan telah dibuat terhadap dua buah lori yang berada di stor dan menjumpai beberapa tangki berisi diesel di dalamnya.


Sehubungan itu katanya, tangkapan serta barang rampasan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuching untuk tindakan lanjut.

Next Post Previous Post