Pakar perubatan bantu Sarawak kaji isu gelandangan, Fatimah

Fatimah bersama agensi yang  menjayakan Program Bersepadu Menyelamat Gelandangan di sekitar Sibu malam tadi.


SIBU—  Kerajaan Sarawak kini dalam usaha menyelamatkan gelandangan mengalami masalah mental di sekitar Sibu.


Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, mereka akan menggunakan kepakaran perubatan dari Hospital Sibu bagi memulihkan gelandangan tersebut.



Beliau berkata, melalui kerjasama ini gelandangan bermasalah mental yang baru diselamatkan akan dihantar ke Hospital Sibu untuk diberi rawatan di wad akut.


“Pihak hospital akan menyediakan rawatan  mengikut kemampuan kapasiti wad akut sehingga pesakit stabil dan layak dihantar ke Tempat Transit Gelandangan (TTG),” katanya.



Fatimah berkata demikian sempena Program Bersepadu Menyelamat Gelandangan di Tempat Transit Gelandangan (TTG) Sibu di sini malam tadi.


Katanya, program bersepadu itu merupakan projek rintis untuk menyelamat gelandangan yang bermasalah kesihatan mental mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah dibangunkan pada 23 Julai 2022 di Sibu.


“Ia merupakan  projek rintis untuk menyelamat gelandangan melalui pendekatan pertukaran gelandangan di antara Hospital Sibu dan TTG Sibu.



Ini adalah pendekatan sementara dan jangka pendek untuk mengurangkan kehadiran gelandangan bermasalah mental di tempat awam,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak merekodkan seramai 237 profil gelandangan tetap pada 2020 manakala 158 pada 2021.


“Daripada jumlah tersebut, 38% daripada gelandangan dalam tahun 2020 dan 2021 mempunyai isu atau masalah kesihatan mental.


TTG kita bukanlah satu Pusat Penjagaan Psikiatrik (Psychiatric Nursing Home) mengikut tafsiran dalam Akta Kesihatan Mental ataupun pusat penempatan mengikut Akta Orang Papa,” ujar Fatimah.


Sehubungan itu, beliau memohon agar Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia menubuhkan sebuah Pusat Penjagaan Psikiatrik di Sarawak; dan melalui KPWKM Malaysia membina sebuah Desa Bina Diri (DBD) yang baharu untuk Zon Utara Sarawak.


Fatimah turut berterima kasih kepada Bintulu Port Holdings Berhad yang bermurah hati menyumbang RM10,000 kepada TTG Sibu.


“Penglibatan semua pihak, baik agensi awam, swasta, NGO dan philanthropist dalam menangani isu sosial di Sarawak amatlah diharapkan.

 

Masalah sosial seperti isu gelandangan sangat rumit, kompleks dan tidak dapat ditangani secara silo. Ia memerlukan pendekatan yang bersepadu, kolaboratif, kolektif dan holistik demi kesejahteraan komuniti di Sarawak,”katanya.


Sementara itu,  laluan operasi malam tadi meliputi Jalan Pulau, pasar malam, Jalan Chew Geok Lin, Jalan Channel, Sentral Market, Jalan Temple (kawasan Tao Peak Kong), Jalan Wharf, Jalan Kao Peng Loong, Terminal Bot Ekpress Penumpang Sibu (Kapit), Hentian Bas Sarikei dan Jalan Maju.


Selain itu Jalan Sanyan, Jalan Kampung Nyabor, Jalan Wong Nai Siong, Jalan Central, kawasan sekitar Premier dan kedai Medan Selera Tanahmas dan Pintu Gerbang Sibu.


Seramai 94 anggota dari 12 agensi daripada  Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Sibu; Majlis Pembangunan Sosial, KPWK; Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat; Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Sibu; Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu; Hospital Sibu; PolisDiRaja Malaysia (PDRM) IPD Sibu; Pihak Berkuasa Tempatan (SMC); Jabatan Imigresen Malaysia, AADK, Angkatan Pertahanan Awam (APM); JPN Cawangan Sibu dan pihak NGO (MHA Sibu; Pertubuhan Amal Shan Xin) serta dalam operasi.

Next Post Previous Post