Cuba rasuah polis RM200, buruh ladang didenda RM10,000


KUALA TERENGGANU—Seorang buruh ladang kelapa sawit dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memberi suapan wang tunai RM200 kepada seorang anggota polis di Kemaman bulan lepas.


Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Radzali Bahari, 41, selain turut menetapkan tertuduh boleh dipenjara selama 10 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.


Radzali dituduh memberi suapan wang tunai RM200 kepada seorang polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Ayer Puteh, sebagai dorongan untuk tidak ditangkap dan mengelak daripada menjalani saringan air kencing, pada 4 petang 12 Julai lepas di dalam daerah Kemaman.


Sehubungan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh manakala lelaki berkenaan tidak diwakili peguam.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post