Najib mahu Ketua Hakim Negara tarik diri



PUTRAJAYA— Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengemukakan permohonan supaya Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya berkaitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.


Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili bekas Perdana Menteri itu memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa pasukan pembelaan telah memfailkan permohonan supaya hakim nombor satu negara itu menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut lewat malam tadi.


Beliau berkata salinan permohonan telah diserahkan kepada pihak pendakwaan.


Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V.Sithambaram kemudian bangun dan berkata pihak pendakwaan belum menerima salinan permohonan yang sudah dimeteri, oleh itu sehingga ia diserahkan prosiding permohonan menarik diri itu tidak boleh dijalankan.


Tengku Maimun menyoal Hisyam sama ada pihak pembelaan ingin berhujah berhubung rayuan utama.


Hisyam menjawab: “Tidak”.


Bagaimanapun, Hisyam berkata beliau ingin membalas hujah Sithambaram mengenai isu sama ada mahkamah boleh membuat keputusan tanpa mendengar hujahan pembelaan.


Tengku Maimun kemudian mengarahkan peguam itu agar menjawab hujah Sithambaram terlebih dahulu.


Namun Hisyam menggesa permohonan agar Ketua Hakim Negara itu menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut didengar terlebih dahulu.


“Kamu sepatutnya berhujah mengenai enam autoriti yang digunakan oleh pihak pendakwaan bahawa mahkamah boleh membuat keputusan tanpa mendengar hujahan pihak pembelaan," kata Tengku Maimun.


Pada peringkat ini, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim mencelah dan berkata panel itu mahu mendengar hujahan balas pihak pembelaan terlebih dahulu.


"Kita di sini bukan untuk membuang masa," kata Tengku Maimun yang kemudian meminta kakitangan mahkamah mendapatkan dokumen berkaitan berhubung permohonan agar beliau menarik diri.


Mahkamah kemudian berehat sebentar.


Berdasarkan notis usul itu, permohonan tersebut bukan dibuat untuk mengaibkan mahkamah terutama Ketua Hakim Negara dan prosiding yang sedang berlangsung sebaliknya demi kepentingan melindungi kebebasan badan kehakiman.


Menerusi usul itu, Najib memohon agar Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar atau memutuskan rayuan terakhir beliau dan satu panel baharu mendengar rayuannya.


Afidavit sokongan Najib mendakwa terdapat hantaran di Facebook yang dimuat naik oleh seorang individu bernama Zamani Ibrahim pada 11 Mei 2018. 


Hantaran itu antara lain menyebut tentang Najib yang telah ‘ditumbangkan’ pada PRU14. 


"Saya sesungguhnya percaya bahawa individu bernama Zamani Ibrahim adalah suami kepada Ketua Hakim Negara yang mengetuai panel hakim yang mendengar rayuan terakhir saya dalam kes SRC di Mahkamah Persekutuan," menurutnya dalam afidavit itu.


Najib berkata perkembangan baharu itu amat membimbangkan dengan mengambil kira fakta bahawa Zamani secara jelas mempunyai pandangan yang negatif terhadap kepimpinan beliau di negara ini sebagai Perdana Menteri dan telah menyimpulkan bahawa beliau menyalur keluar dana-dana harta negara ke dalam akaun peribadinya.


Beliau juga berkata Zamani, sebagai suami Pengerusi panel hakim yang mendengar rayuan itu, mungkin mempengaruhi pemikiran Tengku Maimun terhadap tuduhan atas kebersalahannya.


"Saya selanjutnya menyatakan bahawa oleh kerana sifat hubungan suami-isteri mereka, adalah berkemungkinan bahawa pemikiran Pengerusi yang bijaksana mungkin telah terkesan tanpa disedari olehnya melalui sentimen-sentimen suami Yang Amat Arif Ketua Hakim terhadap saya.


"Malah, saya sesungguhnya percaya bahawa sekiranya Mahkamah Yang Mulia ini memutuskan bertentangan saya di mana yang dipengerusikan oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim, pemerhati termaklum dan berfikiran adil akan berpendapat yang sama terhadap isu-isu yang terbangkit di atas," katanya.


Bagi meletakkan perkara itu dalam perspektif, Najib berkata ketika perbicaraan kesnya bermula, hakim pertama yang mendengar kes tersebut iaitu Datuk Mohd Sofian Abd Razak, telah dikatakan mempunyai seorang abang yang juga ahli UMNO serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, telah diminta menarik diri atas sebab orang awam mungkin berpandangan bahawa keadilan tidak dilihat berlaku.


"Juga, baru-baru ini dalam permohonan saya untuk melantik Jonathan Laidlaw QC, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh turut membuat deklarasi bahawa abang beliau merupakan ahli politik aktif UMNO dan telah menarik diri daripada mendengar perkara tersebut walaupun pihak-pihak tidak mengemukakan sebarang bantahan.


“Oleh itu, mahkamah ini yang merupakan Mahkamah Agung negara ini juga harus mematuhi standard-standard tinggi yang telah diguna pakai oleh hakim Mahkamah Tinggi.


"Begitu juga, Yang Amat Arif Ketua Hakim harus dipertanggungjawab ke atas beban yang sama sepertimana yang telah dicadangkan oleh Majlis Peguam dan ini menyokong penegasan saya bahawa terdapat bahaya sebenar berat sebelah yang berlaku," kata bekas Perdana Menteri itu.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post