Mayat remaja perempuan ditemukan, disyaki mangsa bunuh


KUANTAN— Mayat seorang remaja perempuan Orang Asli berusia 14 tahun dipercayai mangsa bunuh ditemukan di lereng bukit berhampiran rumahnya di Bukit Ibam, Rompin pada Ahad. 


Ketua Polis Daerah Rompin DSP Mohd Azahari Mukhtar berkata mangsa yang difahamkan tidak bersekolah ditemukan oleh sepupunya dalam keadaan berdarah di tangan dan kepala sebelum laporan polis dibuat pada 2.45 petang hari sama. 


"Mangsa difahamkan tidak pulang ke rumah selepas keluar pada malam sebelumnya, menyebabkan bapa mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum mayatnya ditemukan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Susulan penemuan mayat itu, Mohd Azahari berkata tiga lelaki Orang Asli ditahan pada 9.40 malam tadi (22 Ogos) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Sementara itu, mayat mangsa yang dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini akan dibedah siasat hari ini, bagi mengetahui punca kematian. 


Mohd Azahari meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi polis di 09-4145999 atau Pegawai Penyiasat ASP Abdul Khaliq Mustopa di 019-9999769.


Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata polis telah memperoleh perintah reman daripada Mahkamah Majistret Rompin untuk menahan ketiga-tiga suspek berusia 22, 29 dan 38 tahun, sehingga 29 Ogos ini.


"Semua suspek dipercayai merupakan kenalan mangsa dan berasal dari kawasan penempatan yang sama," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini. 


Beliau juga mengesahkan semua suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. 


Pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Perak menyerahkan jawatan kepada Datuk Abdul Razak Mohd Yosuff, yang sebelum ini merupakan Komander 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post