Kerajaan pandang serius isu gaji permulaan jurutera rendah

Majlis Makan Malam Jubli Emas Lembaga Jurutera Malaysia (LJM / BEM)  pada malam ini  tadi. Gambar kredit FB Fadillah Yusof 

KUALA LUMPUR— Kerajaan memandang serius isu gaji permulaan jurutera yang rendah kerana ia mampu menjejaskan minat golongan muda menceburi profesion itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Beliau berkata perkara itu boleh menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara memandangkan nisbah seorang jurutera berbanding penduduk Malaysia jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Jepun dan Jerman.


Gambar kredit FB Fadillah Yusof


“Gaji dan imbuhan dalam skim Kejuruteraan Perkhidmatan Awam perlu dikaji semula dengan mengambil kira faktor-faktor seperti kepakaran kejuruteraan, kos sara hidup dan sebagainya,” kata beliau pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-50 Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) malam ini.


Turut hadir Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan timbalannya Datuk Arthur Kurup serta Yang Dipertua LJM Datuk Seri Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman. 


Ismail Sabri turut menyarankan agar usaha lebih agresif serta serius dilakukan bagi melantik lebih ramai jurutera mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar dalam perkhidmatan awam.


Beliau berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut disaran melantik kalangan jurutera bagi mengisi jawatan pengurusan atasan syarikat seperti ahli lembaga pengarah dan ketua eksekutif.


Bagi memartabatkan profesion itu, Ismail Sabri berkata jurutera Malaysia perlu lebih agresif untuk berinovasi dan menghasilkan produk serta teknologi yang mempunyai nilai pasaran tinggi.


“Kerajaan sentiasa menggalakkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar Malaysia bukan lagi menjadi sekadar pengguna teknologi tetapi sebaliknya pencipta dan pengeluar teknologi. Inilah yang kita harapkan,” katanya.


Pada masa sama, Perdana Menteri berharap pindaan Akta Pendaftaran Jurutera 1967 yang kini diusahakan LJM dapat disegerakan agar mampu berperanan sebagai badan kawal selia profesion itu yang berkesan dan profesional demi memelihara kepentingan serta keselamatan orang awam. 


Ismail Sabri berkata sambutan ulang tahun itu dengan slogan ‘Komited Kepada Kecemerlangan Kejuruteraan’ memperlihatkan kematangan bukan sahaja LJM tetapi juga bidang kejuruteraan.


Beliau juga berkata bidang itu menuntut prinsip kecekapan, penelitian dan kebolehan menyelesaikan masalah yang kompleks sekali gus menjadi asas utama kepada kejayaan pemimpinnya. 


Selain itu, profesion jurutera memberikan sumbangan signifikan kepada negara yang kini menikmati kemajuan besar dalam bidang ekonomi dan teknologi kejuruteraan. 


“Kepakaran jurutera-jurutera tempatan membolehkan sektor infrastruktur, pembuatan, telekomunikasi, petroleum dan jana kuasa dapat dibangunkan sehingga mampu menarik pelaburan langsung asing ke negara ini,” katanya.


Perdana Menteri berkata peranan yang dimainkan LJM sebagai pengawal selia profesion itu telah membantu memacu ekonomi negara dan meningkatkan kualiti hidup Keluarga Malaysia sehingga setanding dengan negara lain.


Pada majlis itu, Ismail Sabri turut melancarkan Buku Peringatan Ulang Tahun ke-50 LJM bertajuk ‘Crossing the Half Century Line’ yang berkaitan dengan sejarah LJM dan pencapaian sektor kejuruteraan negara. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post