Terpedaya Macau Scam, warga emas kerugian lebih RM1.34 juta


JOHOR BAHRU-- Seorang wanita warga emas kerugian lebih RM1.34 juta akibat terpedaya dengan penipuan sindiket ‘Macau Scam’ selepas menerima panggilan kononnya dia terbabit dalam jenayah penipuan dan kegiatan haram, kelmarin.


Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Supt. Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata ia bermula apabila pesara perkhidmatan awam berusia 74 tahun itu dihubungi anggota sindiket berkenaan yang memperkenalkan diri sebagai pertugas perkhidmatan pos.


“ Dia mendakwa terdapat penghantaran kepada mangsa yang mengandungi kad pengenalan, kad juruwang automatik (ATM) dan buku cek milik individu lain, yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.


“Seterusnya, mangsa diarah untuk memberikan butiran perbankan termasuk akses dua perbankan dalam talian miliknya dengan alasan untuk diaudit, dan dia telah mengikut kesemua arahan kerana takut diambil 'tindakan'. 


"Selain itu, mangsa turut diarahkan untuk memindahkan wang simpanan dan bayaran tunai kepada kedua-dua akaun yang didedahkan (butirannya) itu, atas alasan yang sama," katanya.. 


Muhammad Aidil Roneh berkata pada Khamis lepas, mangsa telah membuat semakan terhadap kedua-dua akaun bank miliknya yang telah didedahkan kepada individu berkenaan, pada akhir Mei lalu. 


"Bagaimanapun, mangsa mendapati wang berjumlahRM1,342,459.70 telah dipindahkan kepada pihak lain tanpa pengetahuannya sebelum sedar dia ditipu dan kemudiannya membuat laporan polis, semalam. 


"Hasil siasatan awal polis mendapati nombor telefon untuk menghubungi mangsa pernah digunakan dan terbabit dengan beberapa kes lain yang dilaporkan, tahun ini, " katanya. 


Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post