-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Wanita rentung kereta terbakar bertembung lori

| Ogos 21, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-21T00:50:10Z
Gambar kredit Sinar Harian

BANDAR PERMAISURI -- Seorang wanita rentung selepas kereta Perodua Kelisa yang dinaiki terbakar dalam kemalangan dengan sebuah lori jenis Isuzu 5 tan di Kampung Gong Batu di sini petang tadi.


Insiden pada 5.35 petang itu menyaksikan Nurul Emylia Natasha Zulkifli, 20, ditemukan dalam keadaan rentung akibat kebakaran tersebut manakala manakala pemandu Mohammad Ikhwan Hakim Daud, 21, terselamat dan mengalami kecederaan di bahagian leher.


Ketua Polis  Daerah Setiu DSP Affandi Hussin berkata pemandu lori turut cedera di bahagian leher manakala dua penumpangnya tidak mengalami kecederaan.


“Kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu lori memberi isyarat untuk membelok ke kanan jalan dari arah Kuala Terengganu ke Kampung Raja di Besut, ketika tiba di lokasi kejadian.


“Tiba-tiba datang kereta Perodua Kelisa dari arah sama cuba memotong namun gagal lalu melanggar bahagian kanan lori menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar,” katanya.


Beliau berkata mangsa lain berjaya keluar dari kenderaan masing-masing kecuali Nurul Emylia Natasha yang berasal dari Kampung Pulau Lima,  Pasir Puteh, Kelantan.


“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan,” katanya sambil menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Seorang saksi, Abd Muhaimi Ab Halim, 34, berkata selepas Perodua Kelisa mula terbakar di bahagian hadapan, orang awam dilihat mengeluarkan pemandu kereta itu.


Beliau berkata beberapa pengguna jalan raya pada awalnya cuba menyelamatkan Nurul Emylia Natasha namun gagal membuka pintu di bahagian penumpang hadapan kerana ketika itu api semakin marak.


“Selepas itu, saya bersama beberapa pengguna jalan raya lain cuba menghampiri semula kereta yang sedang terbakar untuk mengeluarkan mangsa tetapi bunyi api sangat kuat dan semakin marak.


“Saya cuba mendapatkan pemadam api daripada pengguna jalan raya lain namun tiada seorang pun mempunyai alat tersebut. Jadi kami hanya berserah kepada Allah dan berasa sedih kerana tidak dapat menyelamatkan mangsa,” katanya.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update