Bayi perempuan ditemukan di hadapan kedai makan

Bayi ditemukan di atas sofa sebuah kedai makan dalam keadaan sihat. Gambar kredit media sosial

KUALA LUMPUR— Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemukan di atas sofa di hadapan sebuah kedai makan di Taman Bahtera, Ulu Bernam, Hulu Selangor, semalam.


Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arsad Kamaruddin berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 33 tahun yang menjumpai bayi berkenaan pada 9.49 pagi.


“Pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati bayi itu dalam keadaan sihat dan tiada kesan luka atau gigitan binatang,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Arsad berkata pihaknya sedang mengenal pasti individu yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.


Terdahulu tular sebuah video berdurasi 53 saat menerusi media sosial memaparkan seorang bayi ditinggalkan di atas sofa sebelum ditemukan orang ramai.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post