HSR Jakarta-Bandung buatan China sedang menuju ke Indonesia

Gambar arkib

Kumpulan pertama gerabak EMU dijadual tiba di pelabuhan Jakarta hujung bulan ini sebelum dihantar ke Bandung menggunakan jalan darat.


BEIJING—Satu set tren electric multiple units (EMU) berkelajuan tinggi dan tren pemeriksaan komprehensif buatan China untuk kegunaan laluan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung dihantar dari pelabuhan Qingdao ke Indonesia, pada Ahad.


HSR Jakarta-Bandung sepanjang 142 kilometer itu turut menjadi projek ikonik Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), manakala kelajuan maksimum EMU berkenaan apabila beroperasi kelak mampu mencecah sehingga 350 kilometer sejam.


Kumpulan pertama gerabak EMU dijadual tiba di pelabuhan Jakarta hujung bulan ini sebelum dihantar ke Bandung menggunakan jalan darat dan ini kali pertama tren HSR buatan China dieksport ke luar negara.


Jaringan landasan HSR sepanjang lebih 40,000 kilometer (km) meliputi 93 peratus bandar yang mempunyai populasi lebih 500,000 orang di China.


Landasan HSR dari Beijing ke Guangzhou sepanjang 2,298 km pula menjadikannya sebagai landasan HSR terpanjang di dunia.


Mempunyai kelajuan maksimum sehingga 350 kilometer sejam sekali gus memudahkan pengguna apabila perjalanan dari Beijing ke Guangzhou hanya mengambil masa lapan jam. 


Maka tidak hairanlah China kini dikenali sebagai “negara HSR” berbanding tiga dekat yang lalu hanya basikal menjadi kenderaan utama.


Pada sedekad yang lalu pula, setiap kali musim cuti sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), berjuta-juta penduduk Guangxi yang mencari rezeki di tempat lain pulang ke kampung halaman dengan menunggang motosikal dan terpaksa melalui perjalanan yang sangat jauh sehingga mencecah ratusan km. 


Namun, situasi ini tidak lagi berlaku sekarang susulan kewujudan HSR dan semua rakyat berpeluang menikmati perkhidmatan itu. 


Selain landasan HSR yang semakin panjang, ketersambungan jaringan pengangkutan lain di China turut sama dinaik taraf dalam tempoh sedekad ini.


Pada Jun 2022, gelung rel padang pasir pertama di dunia sepanjang 2,712 km iaitu landasan kereta api Hotan-Ruoqiang memulakan operasinya.


Perkhidmatan kereta api Hotan-Ruoqiang membantu penduduk di kawasan padang pasir menikmati perjalanan yang lebin lancar. 


Menurut rekod, dalam tempoh sedekad lalu, lebih 50,000 kampung di seluruh China mempunyai perkhidmatan bas.


Di provinsi Guizhou, hampir 20,000 jambatan dibina yang turut melancarkan perjalanan di kawasan yang begitu sinonim dengan bentuk muka bumi Karst itu.


Dalam tempoh sedekad, jaringan pengangkutan sudah meliputi kampung di kawasan pedalaman dan padang pasir membolehkan penduduk tempatan berpeluang mengejar impian mereka.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post