Bilangan penderma organ di Sarawak amat rendah, pakar organ terpaksa 'tengok saja'- Dr Sim

Kita di Sarawak ramai penerima organ tetapi pendermanya amat sedikit — Dr Sim

KUCHING—Pakar organ di Sarawak terpaksa 'tengok saja' kerana jumlah penderma organ di negeri ini sangat rendah, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Sri Dr Sim Kui Hian.


Beliau menjelaskan ketika ini ramai penerima dari kalangan pesakit menunggu giliran untuk mendapatkan organ yang diperlukan.



"Kita di Sarawak ramai penerima organ tetapi pendermanya amat sedikit. (Sebab itu) pakar-pakar kita terpaksa 'tengok saja'," katanya pada sidang media selepas melancarkan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Auditorium CRC Hospital Umum Sarawak hari ini.


Dr Sim memberitahu, ketika ini kira-kira 5,000 orang atau 0.2 peratus daripada 2.4 juta rakyat Sarawak telah berikrar sebagai penderma organ.



Oleh itu, tegasnya, Sarawak amat memerlukan lebih ramai lagi individu yang berikrar sebagai penderma organ.


Ini katanya disebabkan kekurangan penderma, pesakit menunggu lama dalam senarai pemindahan organ, kadang-kadang membawa kepada kematian mereka.


Menderma organ selepas kematian katanya satu amalan yang mulia kerana ia boleh membolehkan orang lain mendapat kualiti hidup yang lebih baik dan sebahagian daripada penderma boleh terus hidup.


“Jika anda bersedia menerima, anda mesti bersedia untuk memberi.


“Kadang-kala ia sangat malang, kemalangan kereta dan lain-lain yang membawa kepada kematian otak berlaku kepada golongan muda," tambahnya.


Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, dengan lebih ramai penderma organ, bidang pengkhususan perubatan pemindahan organ juga akan berkembang.


Beliau menegaskan pengkhususan itu memerlukan penyelarasan, pemeliharaan organ, dan pengiring polis kerana mereka berlumba dengan masa untuk memastikan organ sampai kepada penerima tepat pada masanya.


“Kita belum lagi dekat sana kerana kita mempunyai bilangan penderma yang sedikit. Saya berharap dengan adanya kempen kesedaran ini, jumlah penderma yang berdaftar akan bertambah,” katanya.


Selain berikrar sebagai penderma organ, beliau berkata terdapat keperluan untuk menerapkan budaya di hospital untuk bertanya kepada keluarga pesakit mengenai menderma organ sebelum mengeluarkan sokongan hidup.

Next Post Previous Post