-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Maritim Sarawak bantu kru kapal warga Myanmar cedera

| Ogos 25, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-25T05:16:22Z
Kru kapal Myanmar diberikan rawatan awal semasa tiba di jeti Maritim Negeri Sarawak di KOMTAS sebelum dibawa ke hospital dengan ambulans untuk rawatan lanjut. Gambar kredit Maritim Malaysia  

KUCHING—Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak mengaktifkan misi evakuasi perubatan (MEDEVAC) bagi membantu seorang kru kapal warganegara Myanmar yang cedera semasa belayar di perairan Kuching, semalam.


Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, pihaknya menerima aduan daripada ejen kapal MT THERESA LIBRA yang berada di Singapura sekitar jam 6.02 petang, Selasa lalu.



Berdasarkan maklumat awal diterima katanya, lokasi kapal MT THERESA LIBRA itu dimaklumkan berada di sekitar 240 batu nautika utara Tanjung Po, di sini.


 
"Ejen tersebut memohon bantuan bagi membawa kru berusia 52 tahun yang mengalami kecederaan di bahagian jari dan pergelangan tangan ke hospital untuk rawatan lanjut.


"Kru kapal yang mengalami kecederaan telah dipindahkan melalui titik pertemuan di antara aset bot Maritim Kilat 22 bersama kapal tangki terbabit di kedudukan 3.8 batu nautika timur laut Tanjung Po, semalam (24 Ogos) pada jam 4.30 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.


 
Menurut Zin Azman, kru yang dikenali sebagai Maung Maung Myint terbabit segera dibawa ke jeti Maritim Negeri Sarawak di KOMTAS sebelum dibawa ke hospital dengan ambulans untuk rawatan lanjut.


Jelas beliau lagi, bantuan MEDEVAC ditamatkan pada jam 5.40 petang.


"Maritim Malaysia sentiasa bersedia untuk memberi bantuan kecemasan kepada komuniti maritim. Sekiranya terdapat sebarang kemalangan ataupun kecemasan di laut, boleh hubungi terus talian Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak  082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.

×
Berita Terbaru Update