Elaun pembantu KEMAS naik kepada RM800

Ismail Sabri

SERDANG— Kerajaan bersetuju untuk menaikkan elaun Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela daripada RM500 kepada RM800, yang akan melibatkan 9,439 kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), demikian umum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.


Berucap di hadapan kira-kira 7,000 warga KEMAS pada Majlis Perhimpunan Perdana Sambutan 60 Tahun KEMAS di sini, Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju menaikkan bantuan sara hidup ahli Persatuan Bekas Anggota KEMAS Malaysia (PBKAM) daripada RM300 ke RM500.


Mengimbau pertemuannya dengan PBKAM ketika beliau menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang kini Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Ismail Sabri berkata PBKAM telah memohon untuk diberikan bantuan sara hidup yang sebelum itu tidak ada, namun bantuan sara hidup untuk PBKAM itu akhirnya diluluskan dengan jumlah RM300.


"Demi mengenang jasa PBKAM seramai 4,423 orang, saya setuju naikkan bantuan sara hidup kepada RM500 sebulan," katanya yang menghargai sumbangan warga KEMAS dalam melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan kualiti kesejahteraan masyarakat luar bandar pada majlis perhimpunan  itu.


Pada perhimpunan yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid itu, Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju memberi peruntukan RM8 juta kepada KEMAS bagi program digitalisasi 800 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) KEMAS.


Ismail Sabri dalam ucapannya berkata kerajaan juga bersetuju dengan beberapa cadangan yang dikemukakan Mahdzir berhubung penambahbaikan perjawatan KEMAS khususnya kakitangan kontrak dan Pegawai KEMAS Daerah.


Antara cadangan yang diutarakan oleh Mahdzir dalam ucapannya terdahulu ialah memendekkan tempoh kelayakan pegawai kontrak perkhidmatan ke lantikan jawatan tetap daripada 15 tahun kepada 10 tahun; dan melonggarkan syarat kepada pegawai lantikan kontrak perkhidmatan yang telah berkhidmat lebih dari 10 tahun tetapi kurang dari 15 tahun untuk dilantik ke jawatan tetap.


Turut dicadangkan ialah kenaikan pangkat dan gred Pemaju Masyarakat pelbagai jurusan daripada Gred S19 ke Gred S22 dan S26; penstrukturan semula perjawatan Pendidik Masyarakat Tabika dan Taska serta Penolong Pegawai Kemahiran dan Komuniti di KEMAS dengan memberi peluang kenaikan pangkat daripada Gred S29 ke Gred S32 dan S38.


"Saya harap perkara ini diambil tindakan segera demi menghargai jasa daripada warga KEMAS," kata Ismail Sabri yang meminta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah yang turut hadir pada majlis perhimpunan itu untuk mengambil tindakan segera terhadap permohonan yang disokong beliau itu. 


Ismail Sabri berkata warga KEMAS secara amnya merupakan benteng barisan hadapan kerajaan dengan ahlinya bertindak sebagai ejen perubahan yang menjadi perantara antara rakyat dan kerajaan, dan sewajarnya warga KEMAS memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan.


Perdana Menteri berkata KEMAS juga perlu aktif untuk mendapatkan maklum balas tentang pelbagai isu yang dilontarkan masyarakat di peringkat umbi dan memanjangkannya kepada pengurusan tertinggi serta kementerian, selain menyebar luas maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat luar bandar. 


"Ketika ini kalau kita lihat banyak isu yang diputarbelitkan, banyak fitnah disebarkan. Kalau fitnah disebarkan tanpa jawapan dan penjelasan, fitnah itu akhirnya dipercayai berita fakta yang sebenar.


"Kita mesti menjawabnya dan tanggungjawab anggota KEMAS untuk memberikan penjelasan kepada rakyat tentang isu-isu yang berbangkit malah KEMAS juga bertanggungjawab menyampai maklumat mengenai dasar-dasar yang diumum kerajaan," katanya.


Sebagai agen perubahan, katanya anggota KEMAS hendaklah melengkapkan diri dalam segala ilmu dan kemahiran terutama dalam bidang yang berkaitan dengan peranan dan tanggungjawab KEMAS.


Ismail Sabri berkata  KEMAS amat penting dalam membantu negara membangunkan modal insan terutamanya di kawasan luar bandar. 


"Khidmat dan bakti KEMAS tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak malah peranannya akan terus diperkasa dengan menumpukan kepada pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti dan mampu melahirkan generasi berkeyakinan tinggi dan cemerlang," katanya.


KEMAS ditubuhkan pada 1961 melalui program Rancangan Pelajaran Dewasa yang bertujuan membasmi masalah buta huruf melibatkan hampir dua juta orang dewasa ketika itu. 


KEMAS, menurut Ismail Sabri merupakan perintis pendidikan awal kanak-kanak melalui penubuhan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) pada 1970 dan Taska KEMAS pada 1995 kerana kanak-kanak merupakan aset paling bernilai sebagai pewaris bangsa kita, bangsa Malaysia.


Sehingga kini, KEMAS mempunyai 10,744 kelas Tabika yang disertai oleh 208,347 kanak-kanak dan 545 kelas Taska KEMAS dengan 9,973 kanak-kanak diberikan pendidikan awal berkualiti terutamanya di luar bandar termasuk di pulau dan juga kawasan Orang Asli, katanya.


Beliau berkata KEMAS telah mengambil inisiatif memperkenalkan program STREAM (Science, Technology, Religion, Engineering, Arts and Mathematics) yang akan diperluaskan ke semua Tabila KEMAS di seluruh negara bagi menarik minat kanak-kanak terhadap bidang sains dan teknologi. 


Ismail Sabri dalam pada itu mahu pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar mengadakan perancangan jangka panjang yang jelas bagaimana untuk menambah baik bangunan-bangunan Tabila KEMAS di seluruh negara. 


"Banyak Tabika Kemas yang uzur, saya tahu. Ada Tabika Kemas yang menumpang bangunan orang, kalau dekat kampung menumpang balai raya. Banyak perlukan perubahan," katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post