Sarawak berusaha ke arah masa depan yang lebih gemilang

Gambar hiasan kredit Imaad Whd via unsplash

SIBU— Sambutan Hari kemerdekaan Sarawak pada setiap 22 Julai seharusnya disanjungi kerana tarikh keramat ini pada 1963, menandakan berakhirnya 122 tahun pemerintahan asing dan bermulanya pemerintahan sendiri.


Dan menariknya tahun ini, Sibu diberi penghormatan sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Sarawak ke-59.


Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang, beliau berasa begitu teruja sebagaimana kebanyakan penduduk tempatan di sini.


“Kita harus meraikan sambutan itu bersama-sama supaya generasi akan datang dapat terus meraikan hari istimewa ini,” katanya.


Kata-kata beliau itu sememangnya benar memandangkan Sarawak telah mengalami pelbagai perubahan dan pembangunan terutamanya selepas berakhirnya pemberontakan komunis berikutan penyerahan kalah Parti Komunis Kalimantan Utara (NKCP) yang diketuai Ang Cho Teng serta menandatangani perjanjian damai pada 17 Okt 1990.


Christopher berkata kerajaan pemerintah kini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Primier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyasar untuk membangunkan Sarawak sebagai sebuah negeri maju dengan purata pendapatan isi rumah meningkat kepada RM16,000 sebulan menjelang 2030.


Menurutnya bagi mencapai matlamat itu, semangat kekitaan harus disemai untuk memupuk keharmonian dan perpaduan serta melindungi kepentingan Sarawak.


Bagi Ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Sammy Ngelambai pula, beliau berpendapat untuk membolehkan Sarawak berjaya sebagai sebuah negeri maju, negeri ini perlu melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkebolehan.


“Dengan itu, Sarawak telah mempunyai universiti sendiri. Universiti Teknologi Sarawak (UTS), yang terletak secara strategik di Sibu iaitu wilayah tengah Sarawak dan boleh diakses dari mana-mana bahagian di negeri ini,” katanya.


Ternyata melalui kemudahan permbinaan sebuah universiti di sini, ia telah membolehkan lebih ramai pelajar dari kawasan pesisir pantai dan pedalaman khsusunya, bakal mempunyai peluang yang lebih baik untuk masa depan yang lebih cerah.


“Selain itu, kerajaan negeri membantu pelajar melalui tajaan Biasiswa Yayasan UTS, Skim Dermasiswa UTS dan Biasiswa Sarjana Muda dan Pasca Siswazah UTS,” katanya.


Sammy berkata kerajaan negeri menanggung kos sehingga RM27 juta setahun untuk membolehkan pendidikan mudah diakses dan mampu dimiliki, dan nikmat kemerdekaan ini tidak boleh dipandang remeh.


Seorang lagi ahli MPS, Augustine Merikan berkata pembinaan jalan raya telah membuka banyak peluang kepada masyarakat luar bandar di Sarawak untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi.


Bazar Kapit, Song, Dap dan Kanowit di sepanjang Sungai Rajang adalah kesan limpahan positif pembinaan jalan Sibu-Kapit apabila dapat dilihat kesesakan dan kesukaran mendapatkan ruang pakir walaupun pada hari-hari biasa.


Orang ramai ke sini sama ada untuk menjual hasil ladang di tamu (pasar) atau menikmati sepinggan mee kampua bersama kopi peng (kopi susu).


“Tiada lagi kekangan masa seperti sebelum ini iaitu ketika perkhidmatan bot ekspres merupakan satu-satunya pengangkutan utama ke sini.


“Kemudahan (jalan) ini, membolehkan penduduk mengangkut hasil ladang atau hutan mereka ke Sibu,” kata Augustine sambil menambah bahawa orang Iban telah mulai menjalankan perniagaan sebagaimana masyarakat Cina dan juga Melayu/Melanau.


Katanya, sebaik sahaja Lebuh Raya Pan Borneo siap kelak, lebih banyak peluang akan terbentang luas buat rakyat Sarawak bagi menjana pendapatan.


"Banyak perkara telah berubah sejak 22 Julai 1963. Ayuh!, kita bersama-sama menuju 2030. Masa depan yang lebih gemilang menanti kita," katanya dengan penuh semangat.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post