30 projek bernilai RM100 juta dikenal pasti untuk ditangguh

Projek Lebuhraya Pan Borneo akan diteruskan seperti dirancang. Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Jajaran Julau. Gambar arkib 

KUALA LUMPUR— Sebanyak 30 projek yang melibatkan kos kira-kira RM100 juta dikenal pasti setakat ini untuk ditangguh pelaksanaannya pada tahun ini.


Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia hasil sesi libat urus antara Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kerja Raya (KKR), Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU), Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Selasa lepas (19 Julai).


Beliau berkata antara projek itu ialah pembinaan pusat pemprosesan getah bersepadu di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi; perolehan peralatan bagi memodenkan bengkel dalam bidang elektrikal serta projek kerjasama pusat latihan teknologi tinggi dengan institusi pendidikan dan latihan di luar negara di bawah Kementerian Sumber Manusia dan projek penyelidikan strategik di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.


"Sesi libat urus ini akan berterusan minggu hadapan, MOF, KKR, EPU, ICU, JKR akan mengadakan pertemuan dengan semua kementerian untuk memastikan mana-mana (projek) yang perlu untuk menjamin kesejahteraan rakyat diteruskan.


"Setakat ini, cuma 30 projek bernilai kira-kira RM100 juta, tetapi masih lagi diperincikan, akan diteruskan libat urus minggu depan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai berapakah projek yang akan ditangguhkan kerajaan dan jumlah penjimatannya serta sekiranya projek mega akan turut ditangguhkan.


Mustapa berkata projek seperti MRT Laluan Lingkaran (MRT3), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Pan Borneo akan diteruskan seperti dirancang. 


Mengulas lanjut, beliau berkata projek yang akan ditangguhkan melibatkan projek baharu dan sedia ada yang belum dimulakan proses perolehan dan diiklankan, projek bukan keutamaan yang telah dikenal pasti kecuali projek yang mempunyai impak segera kepada kesejahteraan rakyat dan projek baharu dan sedia ada yang menghadapi masalah pelaksanaan seperti isu tapak.


Mustapa berkata projek yang sedang dalam pelaksanaan, telah dikeluarkan iklan tender, Surat Niat dan Surat Setuju Terima akan diteruskan.


Selain itu, projek yang dibiayai daripada Dana Infra serta semua projek penyelenggaraan yang mustahak dan telah diluluskan juga akan terus dilaksanakan.


“Ini penting bagi menyokong usaha kerajaan untuk merancakkan pemulihan ekonomi pasca-COVID-19,” katanya.


Mustapa berkata sejumlah 7,243 projek pembangunan dengan jumlah peruntukan RM75.6 bilion telah diluluskan untuk pelaksanaan bagi tahun ini. 


Kerajaan dilapor akan mengkaji semula proses perolehan bagi projek yang belum dimulakan untuk mengawal perbelanjaan pembangunan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post