Warga emas tergamam lihat rumah terbakar

Kebakaran yang memusnahkan rumah sepasang suami isteri warga emas di Kampung Pendam malam tad. Gambar kredit Bomba Sarawak

LIMBANG—Sepasang suami isteri warga emas sempat menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Pendam dekat sini malam tadi.


Dalam kejadian sekitar 7.05 malam tadi, mangsa Mohd Alias, 75, berjaya keluar awal, manakala  isterinya Timbang Abdullah,67 yang tergamam melihat api marak berjaya ditarik keluar oleh seorang penduduk kampung.


Gambar kredit Bomba Sarawak


Anak saudara mangsa Zulkipli Apong, 59, berkata ketika kejadian kedua warga emas itu berada di tingkat atas rumah terbabit.


“Sebelum kejadian ibu saudara saya terdengar bunyi ketikan suis elektrik yang terpadam sebelum api datang dari arah dapur rumah mereka,” katanya kepada Borneo Network hari ini.


Gambar kredit Bomba Sarawak


Zulkipli berkata seorang penduduk sempat menarik tangan Timbang yang masih terduduk kerana tergamam melihat api sedang marak memusnahkan rumah mereka.


Akibat kejadian itu katanya, kedua mangsa tidak sempat menyelamatkan dokumen, barangan berharga dan tinggal hilang sehelai sepinggang.


Gambar kredit Bomba Sarawak


Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal berkata, pihaknya bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai selepas menerima panggilan kecemasan pada 7.05 malam.


“Operasi memadam bermula 7.37 malam dan berakhir 9 malam. Operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (KABIMA), “ katanya hari ini.

Next Post Previous Post