Pecah skrin ATM di Siburan, lelaki didenda RM5,000


KUCHING-- Padah pecah skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM), seorang lelaki didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.


Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Julio Patrick Dayey, 37, selepas dia mengaku bersalah atas kesalahan tersebut.


Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat iaitu merosakkan skrin ATM.


Mengikut laporan media sebelum ini, dia ditahan sekitar jam 9 pagi pada 27 Jun lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Padawan di perkarangan Balai Polis Kota Sentosa, Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuching kerana dikatakan memecah skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Siburan


Sebelum ini, Ketua Polis Daerah (KPD) Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat itu daripada polis bantuan bank berkenaan yang memaklumkan pintu bank terbuka sekitar jam 12.12 tengah malam pada 26 Jun.


Pengadu menerima panggilan telefon dari pegawai keselamatan bank memaklumkan pintu ABL (pintu Masuk) belum tertutup sepenuhnya dan menyebakan penggera bank berbunyi. Dalam masa yang sama sekitar jam 12.18 tengah malam, pengadu terima panggilan telefon dari orang awam memberitahu penggera bank berbunyi dan didapati ‘roller shutter’ bank telah tertutup namun pintu masih terbuka. 


"Orang awam tersebut telah menutup pintu dan ternampak skrin salah satu mesin ATM dalam bank telah retak di bahagian skrin,” katanya.


Tambahnya, kejadian dipercayai berlaku sebelum pintu bank tertutup secara automatik pada setiap hari iaitu jam 12.05 tengah malam.


Kerugian dianggarkan sebanyak RM800.


Tertuduh tidak diwakili peguam.


Difahamkan, tertuduh telah membayar denda tersebut.

Next Post Previous Post