Cadang subsidi khas kepada penduduk Limbang

Rosli (kiri) dan Xavier

LIMBANG— Kerajaan digesa mempertimbang pemberian subsidi khas kepada penduduk di Limbang bagi meringankan kos sara hidup yang ditanggung penduduk akibat kenaikan harga barang.


Pengerusi Persatuan Kontraktor Bumiputera Daerah Limbang, Rosli Amat, berkata subsidi ini wajar memandangkan kedudukan Limbang yang terpencil dan terasing berbanding daerah lain.


Beliau berkata, Limbang diibaratkan sebuah pulau terasing dengan akses perhubungan luar sangat terhad.


“Keadaan ini menyebabkan kesukaran untuk membawa masuk barangan kawalan selain memerlukan prosedur rumit. 


Faktor ini menyebabkan harga barangan keperluan di sini melambung. Sehubungan itu,  kerajaan perlu  melihat dari sudut yang berbeza dalam menetapkan harga barangan kawalan,” katanya kepada Borneo Network.


Beliau mengulas penduduk Limbang dan Lawas terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk menikmati hidangan ayam dan telur berbanding tempat lain di Sarawak.


Berdasarkan senarai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam, harga siling runcit ayam standard di kedua-dua kawasan ini ialah RM12.90 sekilogram, ayam super RM13.90 sekilogram manakala telur antara 45 sen hingga 49 sen sebiji.


Rosli menambah, harga runcit ayam yang tertinggi berbanding daerah lain ini sudah pasti menambah lagi 'derita' penduduk disini.


“Sebelum ini kami kerap mengalami gangguan bekalan barang kawalan seperti telur, tepung, ayam dan  barang kawalan lain,”katanya.


Xavier Ginafah Sidop pula merayu kerajaan negeri agar lebih prihatin termasuk menyediakan  pengangkutan untuk menghantar barangan keperluan asas ke Limbang.


“Inilah masanya kerajaan lebih cakna dengan mengurangkan beban  rakyat Limbang dan Lawas.


“Kami mahu harga barangan diselaraskan  di seluruh Sarawak, agar kami menikmati harga murah seperti di kawasan lain,” katanya lagi.


Tambahnya, rakyat Limbang dan Lawas berhak  menikmati harga barangan keperluan harian sama seperti penduduk lain di negeri ini.

Next Post Previous Post