Kebimbangan pemotongan levi eksport Indonesia jejas harga minyak sawit


KUALA LUMPUR—Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah bagi hari kedua berturut-turut hari ini, diseret turun oleh kebimbangan mengenai kemungkinan pemotongan levi eksport oleh kerajaan Indonesia, kata peniaga minyak sawit David Ng.


Beliau berkata kepada Bernama bahawa harga niaga hadapan MSM turun lapan peratus berikutan khabar angin tentang Indonesia yang mempertimbangkan untuk mengurangkan levi eksport minyak sawitnya bagi menggalakkan lebih banyak penghantaran yang akan menyebabkan MSM Malaysia kurang kompetitif.


“Selain daripada itu, kebimbangan kemungkinan perintah berkurung di bandar raya di China susulan peningkatan kes COVID-19 turut menjejaskan MSM.


“Kami mengesan paras sokongan dan paras halangan masing-masing pada RM3,500 dan RM4,200 satu tan,” katanya.


Pada penutup dagangan, kontrak niaga hadapan MSM bagi bulan semerta Julai 2022 susut RM271 kepada RM3,850 satu tan, Ogos 2022 turun RM362 kepada RM3,739 satu tan, manakala September 2022 dan Oktober 2022 masing-masing merosot RM355 kepada RM3,761 dan RM3,781 satu tan.


Kontrak November 2022 berkurangan RM342 kepada RM3,829 satu tan dan Disember 2022 merosot RM320 kepada RM3,893 satu tan.


Jumlah dagangan meningkat kepada 94,375 lot daripada 53,747 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 283,046 kontrak daripada 249,013 kontrak sebelumnya.


Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan susut RM300 kepada RM4,000 satu tan berbanding RM4,300 satu tan semalam.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post