Gantung operasi, tarik lesen pengilang seludup minyak masak bersubsidi

Nanta Linggi (tengah) melakukan pemeriksaan serta pemantauan harga barang bersama Ahmad Faizal di sebuah pasar raya di sini hari ini.

PUTRAJAYA— Pengilang pembungkusan minyak masak bersubsidi bakal berdepan tindakan digantung operasi dan lesen ditarik balik jika didapati menyeludup bekalan itu ke negara jiran, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.


Beliau berkata tindakan itu boleh diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) jika terdapat bukti kukuh, mengikut peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).


“Kalau daripada hasil siasatan KPDNHEP kita ada bukti, maka pengilang boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada," katanya pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan serta pemantauan harga barang bersama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di sebuah pasar raya di sini hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini berhubung kemungkinan ketirisan minyak masak bersubsidi ke negara jiran itu didalangi pengilang yang membuat pembungkusan barang kawalan tersebut.


Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia dilaporkan berkata siasatan pasukan khas tersebut mendapat bukti cukup berkait ketirisan minyak masak bersubsidi yang cukup besar ke negara jiran.


Akta 122 dikuatkuasakan bagi mengawal bekalan barang-barang yang telah diisytiharkan sebagai barang kawalan bagi memastikan bekalan mencukupi serta memperuntukkan kuasa bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mana-mana individu menyorok atau enggan menjual barang kawalan.


Nanta berkata isu itu turut dibincang dalam mesyuarat Kabinet hari ini dengan cadangan agar agensi penguatkuasaan berkaitan membantu KPDNHEP untuk membanteras aktiviti penyeludupan terbabit.


“KPDNHEP harap sangat kerjasama daripada agensi penguatkuasanan lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera dalam isu ini,” katanya.


Sementara itu, Ahmad Faizal berkata lebih 3,000 sukarelawan belia yang berdaftar dengan Majlis Belia Malaysia akan melakukan pemantauan terhadap sebarang eksploitasi kenaikan atau lonjakan harga barangan di pasaran. 


Menurutnya,  sukarelawan terbabit akan melaporkan salah laku peniaga melalui enam saluran aduan rasmi KPDNHEP iaitu portal eaduan.kpdnhep.gov.my, talian 1-800-886-800, WhatsApp  019-2794317 dan 019-848 8000, e-aduan@kpdnhep.gov.my Ez Adu KPDNHEP dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post