SPRM siasat tuntutan palsu, seleweng dana Penjana Kerjaya


KUALA LUMPUR— Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melancarkan ‘Ops Hire’, bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) di beberapa negeri, bermula hari ini.


SPRM dalam kenyataan malam ini memaklumkan operasi besar-besaran itu, dikendalikan oleh Ibu Pejabat SPRM bersama SPRM negeri.


“Penjana Kerjaya merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja, semasa mendepani cabaran COVID-19 bermula awal tahun 2020.


“Ia dilaksanakan PERKESO bagi merangsang ekonomi negara melalui pewujudan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja,” menurut kenyataan itu.


Selain itu, SPRM dengan kerjasama PERKESO telah membangunkan maklumat menerusi pemantauan dan risikan terhadap penerima dana, dan mendapati ada majikan-majikan yang mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana ini.


Menurut SPRM, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia berkepentingan awam sekali gus memberi jaminan akan menyiasat  Secara menyeluruh bagi memastikan pihak yang terlibat dikenakan tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang berkuatkuasa.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post