Jenayah indeks di Sarawak menurun


KUCHING: Keadaan jenayah di Sarawak pada umumnya berada di tahap yang terkawal dengan statistik jenayah indeks menunjukkan penurunan sebanyak 19 peratus bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2022 berbanding tempoh yang sama tahun lalu.


Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, bagi tempoh tersebut perangkaan jenayah indeks di Sarawak mencatatkan 1,910 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu 2,357 kes.


"Bagi kategori jenayah kekerasan, sebanyak 290 kes dilaporkan dalam tempoh tersebut berbanding 318 kes pada tempoh berkenaan tahun lepas iaitu penurunan sebanyak 9 peratus," katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi Julai 2022, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.


Tambahnya, dua kategori kesalahan jenayah kekarasan iaitu rogol dan samun tanpa senjata api bagaimanapun menunjukkan peningkatan bilangan kes tahun ini.


Bagi jenayah harta benda pula, Mohd Azman berkata, sebanyak 1,620 kes dilaporkan sepanjang tempoh itu berbanding 2,039 kes pada tahun lepas iaitu menurun sebanyak 21 peratus.


Katanya lagi, terdapat peningkatan jumlah kes jenayah harta benda berlaku melibatkan kes kecurian van, lori, jentera berat, curi kereta dan curi motosikal.


Menurut beliau, bagi jenayah seludup kenderaan, polis Sarawak sentiasa bersedia selepas sempadan dibuka di Biawak, Lundu, Tebelu dan Lubuk Antu bagi mengatasi mengatasi kes seludup keluar kenderaan ke negara jiran.


"Sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, terdapat 13 daerah menunjukkan peningkatan jumlah kes berbanding tahun lalu iaitu Bintulu, Serian, Sarikei, Simunjan, Bau, Julau, Tatau, Lawas, Kapit, Kanowit, Song, Dalat dan Matu/Daro.


Mengenai Op Dadu Kontinjen Sarawak pada tempoh itu, Mohd Azman menjelaskan sebanyak 1,727 serbuan dijalankan dan telah membawa kejayaan 718 tangkapan, 757 rampasan mesin, telefon dan sebagainya serta sejumlah wang tunai RM98,317 turut dirampas.


Berhubung jenayah narkotik, beliau menjelaskan bagi tempoh yang sama, Kontinjen Sarawak berjaya merekodkan 4,513 tangkapan iaitu meningkat sebanyak 18 peratus berbading tempoh sama tahun lalu iaitu 3,812.


"Kuching merupakan penyumbang utama jumlah berkenaan iaitu 1,072 tangkapan diikuti Sibu (469) dan Bintulu (422)," katanya.


Kata beliau, bagi nilai rampasan pula menunjukkan peningkatan iaitu RM8.27 juta pada 2021, manakala RM8.77 juta pada tahun 2022 iaitu meningkat sebanyak RM502, 686 atau 6.1 peratus.


Selain itu, jelas beliau polis turut menyita harta bernilai RM1.7 juta.


"Kesemua dadah yang dirampas pada tahun 2021 dan 2022 itu  boleh digunakan oleh sebanyak 755,887 orang.


"Untuk itu, polis turut membuka sebanyak 1,189 kertas siasatan tahun ini dan daripada jumlah itu, seramai 1,017 individu telah dituduh.


"Bagi menangani penagih berulang, seramai 108 individu dituduh di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952," jelasnya.


Sehubungan itu, beliau menegaskan polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik terus mempertingkatkan penguatkuadaan undang-undang bagi membanteras jenayah melibatkan dadah dengan melumpuhkan sumber bekalan, kewangan dan aset sindiket.


Tambahnya lagi ini bertujuan agar sindiket serta kegiatan mereka itu dapat dibanteras habis-habisan.

Next Post Previous Post