Scammer menyamar jiran pinjam wang


SIBU-- Seorang wanita kerugian RM3,000 selepas terpedaya dengan mesej meminjam wang dari 'jiran' sendiri akibat perbuatan scammer yang menyamar menggunakan aplikasi WeChat.


Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata pada 15 Julai pengadu iaitu anak perempuan mangsa melaporkan ibunya telah menerima mesej melalui aplikasi WeChat daripada jiran mereka memberitahu mahu meminjam wang sebanyak RM3,000 dan meminta agar pindahan wang dibuat kepada seorang penama melalui pindahan DuitNow.

 

Katanya, ibu pengadu kemudiannya mendapatkan bantuannya untuk membuat pindahan wang tersebut. 


"Pengadu telah memindahkan wang dari akaun miliknya kepada seorang penama melalui pindahan DuitNow sebagaimana yang diberikan sebanyak RM3,000 melalui dua transaksi.

 

Keesokkan harinya ibu pengadu telah menghubungi jirannya itu bagi bertanya tentang wang yang telah dipinjamkan namun ibu pengadu terkejut apabila diberitahu bahawa jirannya itu tidak pernah menghantar mesej untuk meminjam wang. Akaun WeChat jirannya itu telah digodam. 


Menyedari telah ditipu, pengadu telah membuat laporan polis. Siasatan telah dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Zulkipli menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya pada panggilan atau mesej yang diterima mendakwa daripada kenalan bertujuan untuk meminjam wang, berkemungkinan ianya adalah daripada Scammer yang menggunakan gambar rakan atau kenalan untuk menipu. 


"Buat pengesahan terlebih dahulu dengan menghubungi dan membuat panggilan dengan nombor telefon sebenar mereka. 


Selain itu perlu diingatkan supaya berhati-hati berkongsi maklumat peribadi di media sosial supaya tidak disalahgunakan sindiket penipuan," katanya.

 

Orang ramai juga disarankan supaya tidak membenarkan kenalan menggunakan akaun bank sebagai akaun tumpang kerana dikhuatiri digunakan untuk tujuan penipuan.

 

Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559/03-26101599 atau memuatnaik aplikasi semak mule http://semakmule.rmp.gov.my dan ikuti laman facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.

Next Post Previous Post