Miliki 57 gram syabu, pasangan penganggur berdepan hukuman mati

Rampasan syabu dipercayai untuk kegunaan penagih di Limbang. Gambar kredit IPD Limbang

LIMBANG—Dua penganggur bakal berdepan hukuman mati selepas ditahan polis bersama sejumlah dadah jenis syabu dalam Op Tapis pada  Isnin.


Dalam operasi bermula jam 9 pagi itu suspek wanita  berusia 30-an bersama rakan lelakinya 40-an ditahan oleh anggota Bahagian  Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah  (IPD) Limbang di kawasan bangunan Tamu Limbang.


Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot, berkata hasil daripada operasi itu pihak polis berjaya menahan seorang wanita dan seorang lelaki, masing-masing dari Limbang dan Lawas dan tidak bekerja.


“Hasil pemeriksaan polis merampas dadah syabu seberat 57 gram dianggarkan bernilai RM 4,500.”


Siasatan awal mendapati bekalan dadah itu untuk pasaran di Limbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)  1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 sebatan.


Sementara itu, Op Tapis  dijalankan dengan kekuatan seramai seorang pegawai dan enam anggota dari BSJN  dan Keselamatan Komuniti Daerah, IPD Limbang.


“Op Tapis ini akan diteruskan dari semasa ke semasa melibatkan aset-aset PDRM secara maksima,”katanya.

Next Post Previous Post