Notification

×

Iklan

Iklan

PGA tumpas sindiket seludup minyak subsidi

| Jun 02, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-02T09:16:19Z

Gambar kredit Batalion 5 Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam 


JOHOR BAHRU—Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menumpaskan satu sindiket penyeludupan minyak bersubsidi di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, dekat sini tengah malam tadi.


Pegawai Pemerintahnya Supt Mohd Razali Melin berkata melalui serbuan itu pada 12.24 tengah malam, pihaknya merampas minyak dan juga barangan lain bernilai RM357,200 serta menahan dua lelaki berumur 29 dan 31 tahun.



Beliau berkata antara barangan yang dirampas ialah 22,000 liter minyak diesel bersubsidi, dua skid tank berkapasiti 20,000 liter, satu tong putih berkapasiti 1,000 liter dan satu mesin pam veeder root jenama ‘Liquid Control’.


“Turut dirampas ialah satu mesin pam minyak jenama Piusi, dua lori jenis Hino Super Ranger, satu lori jenis Nissan UD dan satu lori jenis Mazda. Individu terbabit juga gagal mengemukakan sebarang dokumen memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Mohd Razali berkata tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut.


Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.


Mohd Razali berkata dengan tumpasnya sindiket berkenaan, pihaknya berjaya mematahkan satu rangkaian penyeludupan minyak di sekitar daerah ini, yang dipercayai telah beroperasi selama dua bulan.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update