-->

Notification

×

Iklan

Iklan

SPRM buka 25 kertas siasatan kes salah urus pengurusan COVID-19

| Jun 02, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-02T07:13:54Z
Tan Sri Azam Baki (tengah) (Gambar arkib) 

PUTRAJAYA—Sebanyak 25 kertas siasatan berhubung salah urus pengurusan COVID-19 dibuka, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.


Beliau berkata siasatan kes berkenaan merangkumi pelbagai isu kesalahan dan SPRM akan memanggil mereka yang terlibat untuk membantu siasatan.


“Saya hendak nyatakan ia berkaitan pengurusan COVID-19 maka apa-apa laporan (perkembangan kes itu), kami akan maklumkan.


“Banyak individu telah dan akan dipanggil kerana setiap satu kes itu adalah berbeza,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Program Pemantapan Wartawan bersama SPRM di sini hari ini.


Azam berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes salah urus pengurusan COVID-19.


Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa kes berkenaan turut melibatkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan.


Mengulas sama ada bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba akan dipanggil bagi membantu siasatan, Azam berkata sebarang kemungkinan tindakan akan dilakukan mengikut keperluan termasuk memanggil individu terlibat.


“Ia bergantung kepada keperluan sebab itu saya katakan tadi ada 25 kertas siasatan dalam pelbagai isu, jadi tidak semestinya Menteri Kesihatan sahaja yang akan dipanggil,” katanya.


Azam berkata SPRM akan meneliti individu yang terlibat sebelum memanggil mereka.


Pada 25 Mei lepas, Dr Adham dilapor sedia memberikan kerjasama kepada SPRM berikutan dakwaan berlaku isu rasuah dan penyelewengan berhubung perolehan berkaitan COVID-19.


Beliau yang memegang portfolio itu semasa negara sedang berhadapan dengan wabak tersebut mula melanda Malaysia, mengakui pernah menerima sendiri aduan mengenai perkara itu sekali gus menjelaskan perkara tersebut berlaku di peringkat pentadbiran.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update