Tiga cedera kereta bertembung MPV

Keadaan kemalangan melibatkan kenderaan Proton Saga dan MPV di Jambatan Kuning Jalan Mukah dekat sini hari ini. Gambar kredit IPD Mukah 


MUKAH—Tiga individu cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jambatan Kuning, Jalan Mukah Balingian dekat sini hari ini.



Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata, nahas berlaku sekitar jam 11.40 pagi tadi.



"Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun bergerak lurus dari arah Balingian menuju arah Hospital Mukah.


“Ketika tiba di Jambatan Kuning Mukah, kenderaan Proton Saga itu hilang kawalan lalu terbabas memasuki lorong bertentangan dan melanggar MPV yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 56 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Muhamad Rizal, akibat kemalangan  pemandu dan dua penumpang Proton Saga iaitu seorang lelaki berusia 28 tahun dan wanita berusia 21 tahun mengalami kecederaan.


Katanya, ketiga-tiga mereka telah dibawa ke Hospital Mukah oleh Ambulan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mukah untuk  rawatan lanjut.


“Sementara pemandu MPV dan penumpang Proton Saga iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.


“Kes kini disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59),” katanya.

Next Post Previous Post