MEOA desak kerajaan segera bawa masuk pekerja ladang

Kekurangan tenaga kerja memberi kesan buruk terhadap sektor perladangan sawit. 

KUALA LUMPUR—Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) optimis permit kerja akan dikeluarkan kepada ladang bersaiz sederhana dan kecil dengan segera sama seperti dilakukan kepada syarikat-syarikat terkemuka yang lain.


Dalam persekitaran kekurangan pekerja dihadapi industri minyak sawit, persatuan itu teruja apabila mendapat tahu bahawa sebuah syarikat terkemuka telah diberi permit untuk membawa masuk pekerja dari Lombok, Indonesia walaupun diumumkan pengambilan pekerja sebelum ini dibatalkan.


“Ini bermakna proses pengeluaran permit telah bermula. Walaupun mungkin terdapat sebab dan persepsi yang ditimbulkan berkaitan pembatalan pengambilan pekerja itu, keutamaan utama sekarang ialah memastikan modus operandi berkenaan diperkukuh dan keseluruhan proses dapat dimulakan dengan segera supaya semua syarikat besar, sederhana atau kecil akan mendapat manfaat daripada pengambilan pekerja semula ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


MEOA berkata pada awal 2022, ia menganggarkan terdapat kekurangan kira-kira 120,000 pekerja dalam industri minyak sawit tempatan.


Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ia boleh menyebabkan industri dan negara kehilangan hasil sebanyak RM28 bilion daripada tandan buah segar yang tidak dituai tahun ini.


Malaysia kehilangan peluang keemasan untuk memenuhi permintaan minyak sawit global yang semakin meningkat kerana ia tidak dapat menampung penuaian semua tandan kelapa sawit pada waktu penuaian yang sesuai disebabkan oleh kekurangan jumlah tenaga buruh, kata MEOA.


Ia memberi amaran bahawa kekurangan buruh itu juga akan menjejaskan pendapatan masa depan kerana banyak perladangan akan cuba menguruskan buruh mereka secara produktif dengan menggunakan bilangan pekerja sedikit bagi kerja-kerja penuaian, justeru memberi keutamaan lebih rendah kepada kerja-kerja lain di ladang termasuk penyelenggaraan ladang serta kerja-kerja pembajaan.


Akibat daripada pengurangan tenaga kerja dalam penyelenggaraan ladang dan kerja-kerja pembajaan, ia akan memberi kesan buruk kepada keadaan ladang dan hasil tanaman terutamanya penggunaan baja yang tidak mencukupi, kata MEOA.


“Akses ke ladang dan pokok kelapa sawit juga akan terhalang kerana keadaan sekitar yang tidak dijaga. Kerja-kerja membaik pulih akan memerlukan lebih ramai tenaga kerja dan pada kos yang lebih tinggi,” katanya.


Kesimpulannya, MEOA menggesa semua pihak berkepentingan terutamanya pihak berkuasa yang berkaitan untuk menguruskan pengambilan semula pekerja ini dan isu-isu lain dengan segera.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.