Penjawat awam maut dirempuh pemandu mabuk


IPOH—Seorang penjawat awam maut selepas kenderaan dinaiki bersama isteri dan anaknya bertembung dengan sebuah kereta dipandu oleh seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol di Kilometer (KM) 1, Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar, Kampar, kiri-kira 39km dari sini, malam tadi.


Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, mangsa, Mohd Nazri Sham Aring, 42, yang bertugas di Pejabat Daerah dan Tanah Kampar, maut di tempat kejadian selepas kereta jenis Perodua Viva dipandunya betembung dengan kereta jenis Honda Civic dinaiki dua lelaki.


Ketua Polis Daerah Kampar Supt Mohamad Nazri Daud berkata hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kereta Honda Civic dipandu seorang pemandu lori berusia 29 tahun yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk telah memasuki laluan mangsa dan menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung.


"Akibat kemalangan ini, Mohd Nazri disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian dada," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Beliau berkata isteri mangsa berusia 33 tahun mengalami cedera ringan dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala manakala seorang rakan suspek yang menaiki kenderaannya tidak mengalami kecederaan.


Mohamad Nazri berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat dan pemandu lori itu ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan.


Katanya punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


  -- BERNAMA

Next Post Previous Post