Notification

×

Iklan

Iklan

Sarawak kekal dalam Persekutuan Malaysia, Abang Jo

| Jun 06, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-06T09:10:52Z
Premier serta isteri dif-dif kenamaan  memotong pulut kuning sempena sambutan  Hari Keputeraan Rasmi Yang DiPertuan  Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah peringkat negeri Sarawak. Gambar kredit JAPEN

KAPIT—Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah peringkat negeri Sarawak yang diadakan di sini hari ini menyaksikan ikrar rakyat negeri ini untuk terus kekal dalam Persekutuan Malaysia.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyuarakan ikrar itu berkata Al-Sultan Abdullah yang telah melakukan beberapa lawatan ke negeri ini tahun ini merupakan ketua negara yang amat prihatin terhadap rakyat Sarawak tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik mereka.


"Sebagai sebahagian daripada wilayah yang menubuh negara Malaysia, kita di Sarawak akan terus bersama dalam Malaysia dan membangun seperti termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963," katanya.


Berucap di majlis sambutan tersebut, beliau berkata Sarawak mempunyai perancangan dan dasar mantap bagi memastikan keamanan, kemakmuran dan kemajuan dapat terus dikecapi.


Menurutnya kerajaan Sarawak telah merancang pelbagai strategi termasuk Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang akan dilaksanakan bagi memastikan negeri ini terus membangun dan hasil ekonominya terus dapat diagih dengan menyeluruh kepada rakyat.


Abang Johari berkata kerajaan Sarawak menyasarkan pertumbuhan ekonomi sebanyak enam hingga lapan peratus setahun seterusnya untuk meningkatkan pendapatan rakyat negeri ini menjelang tahun 2030.


Beliau berkata sambutan ulang tahun kali ini merupakan acara tonggak pertama secara bersemuka diadakan susulan pandemik COVID-19 dan Sarawak akan menganjurkan lebih banyak lagi acara tonggak secara fizikal termasuk sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai dan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.


Terdahulu Premier mewakili seluruh rakyat Sarawak mengucapkan setinggi tahniah dan selamat hari keputeraan kepada Yang di-Pertuan Agong dan berdoa semoga baginda dan Permaisuri Agong serta keluarga baginda sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update