Abang Jo peruntuk RM348 juta bangunkan Kapit

Abang Jo meluangkan masa meninjau projek yang telah dibangunkan iaitu Kapit Lily Pond. Gambar kredit Sarawakku

KAPIT—Kerajaan Sarawak hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM348 juta untuk melaksanakan projek naik taraf jalan raya dan bekalan elektrik di Bahagian Kapit sebagai susulan kepada pembangunan pesat yang berlaku sejak siapnya projek jalan raya Sibu-Kapit.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata daripada peruntukan tersebut, sebanyak RM190 juta adalah bagi membiayai pembesaran jalan raya dan penyediaan lampu isyarat pintar di bandar Kapit yang kini mengalami kesesakan lalulintas. 


Menurutnya, kesesakan tersebut berlaku berikutan jumlah kenderaan yang bertambah sejak siapnya jalan menghubungkan bandar Kapit dan Sibu tahun lepas, di mana semakin ramai penduduk mampu memiliki kenderaan sendiri menggunakannya untuk bergerak.



"Diharap pembesaran jalan raya ini nanti boleh mengatasi masalah kesesakan lalulintas di bandar Kapit," katanya kepada media semasa meninjau Taman Lily Pond di sini hari ini.


Terdahulu beliau telah menghadiri Majlis Jamuan Teh sempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong peringkat Negeri Sarawak di Dataran Bandar Kapit.


Katanya Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Sarawak serta Kementerian Pengangkutan negeri  telah diarahkan untuk datang ke Kapit untuk membuat tinjauan lanjut.


Semasa berucap di Majlis Jamuan Teh sempena sambutan itu, Abang Johari berkata RM105 juta diperuntukkan bagi membina jalan menghubungkan Sungai Katibas dengan Ulu Sungai Bangkit dalam daerah Song, manakala sejumlah RM53 juta lagi bagi menyambung bekalan elektrik dari Sungai Tunoh ke bandar Kapit ke grid kuasa Sarawak sepanjang 35 kilometer.


Beliau berkata pengumuman peruntukan itu bukan sahaja untuk menghargai kesediaan rakyat di Kapit menjadi tuan rumah sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraani Yang di-Pertuan Agong peringkat Negeri tahun ini.


"Ia juga adalah penghargaan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada rakyat di Bahagian Kapit atas mandat besar yang diberikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 pada tahun lalu," tambahnya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post