Kabinet setuju simpan stok ayam langkah tangani krisis

Simpanan stok ayam melibatkan pertubuhan peladang secara gabungan dan akan dimulakan serta-merta. Gambar arkib 

PUTRAJAYA—Mesyuarat Kabinet semalam bersetuju dengan pelaksanaan beberapa langkah jangka pendek bagi menangani isu bekalan dan harga makanan antaranya mewujudkan simpanan stok atau stockpile ayam.


Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata simpanan stok ayam untuk menangani kekurangan bekalan ayam di pasaran dilaksanakan menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang akan melibatkan pertubuhan peladang secara gabungan dan akan dimulakan serta-merta.


Ronald berkata mesyuarat Kabinet semalam mengambil maklum status bekalan makanan negara bagi lapan komoditi makanan utama antaranya daging ayam, lembu/kerbau, telur, susu segar, ikan, buah, sayur dan beras.


"Secara amnya, bekalan makanan negara masih mencukupi untuk menampung keperluan penggunaan tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Kabinet juga bersetuju dengan langkah mempermudahkan proses pembayaran tuntutan subsidi harga ayam dengan membenarkan bayaran pendahuluan tuntutan khususnya penternak kecil dan sederhana, yang membolehkan tuntutan amaun subsidi berjumlah RM157.53 juta dapat dilaksanakan dengan kadar segera, katanya.


Turut dipersetujui langkah memudah cara prosedur import (IP) Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) ke atas empat komoditi merangkumi soya, gandum, jagung dan makanan ternakan berasaskan haiwan dan tumbuhan melalui penangguhan fi permit serta mewujudkan laluan khas atau priority lane bagi proses kemasukan pantas sehingga bekalan ayam kembali stabil.


Ronald berkata proses keperluan lesen pengimportan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veteriner (DVS) dipercepatkan melalui kelulusan secara interim bermula 1 Julai ini, dengan proses kelulusan adalah dalam masa tujuh hari bekerja berbanding 30 hingga 90 hari, yang akan memanfaatkan 380 syarikat pengimport bahan makanan ternakan.


"Melaksanakan semakan semula ke atas tarif elektrik sektor agromakanan untuk mengurangkan beban kos operasi pengeluar makanan," katanya.


Ronald berkata pengecualian khas diberikan bagi pengambilan pekerja asing dalam industri penternakan ayam mengikut keperluan bagi membolehkan aktiviti penternakan ayam beroperasi pada tahap optimum sekali gus menjamin kesinambungan pengeluaran.


Beliau berkata mekanisme mengurangkan kos minyak sawit mentah kepada syarikat pengilangan makanan ternakan yang dikenal pasti bagi mengurangkan kos makanan ternakan akan dikaji.


Ronald berkata Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara akan bersidang secara mingguan bagi memantau status bekalan komoditi utama makanan negara serta mengenal pasti isu dan mencari jalan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang terhadap isu sekuriti makanan negara.


Beliau berkata satu kluster Dasar Sekuriti Makanan baharu juga telah diwujudkan iaitu Kluster Komunikasi Strategik di bawah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC).


"Ia bagi memastikan rakyat mendapat mesej dan maklumat sekuriti makanan negara yang berterusan dan efektif selain menyampaikan inisiatif kerajaan berhubung sekuriti makanan," katanya.


Berhubung pemberian subsidi kepada penternak ayam bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) berjumlah RM729.43 juta, Ronald berkata sebanyak 1,644 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM113.2 juta telah diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) setakat ini.


Kerajaan telah meluluskan pemberian subsidi pada kadar RM0.60/kg dari 5 Feb 2022 hingga 30 Mac 2022 dan subsidi itu telah dinaikkan kepada RM1.40/kg bagi tempoh 1 April 2022 sehingga 30 Jun 2022.


"Semua penternak boleh terus kemukakan permohonan supaya subsidi dapat disalurkan," katanya.


Pada 1 Jun, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bermula 1 Julai ini, kerajaan tidak lagi akan memberi subsidi kepada penternak ayam sebaliknya ia akan disalur secara langsung kepada rakyat yang dianggap lebih memerlukan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post