'Chong' dipenjara 8 tahun, disebat kerana merompak kenderaan wanita

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen oleh anggota polis di sini, hari ini. Kredit gambar Suara Sarawak 

KUCHING—Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan ke atas seorang lelaki tempatan kerana melakukan rompakan dengan melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda milik seorang wanita.


Memetik laporan Suara Sarawak, hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad ke atas tertuduh Chong Liang Hung, 47, selepas mengaku bersalah atas tuduhan tersebut. 


Dia sebelum ini mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.


Berdasarkan pertuduhan, Chong didakwa merompak kenderaan milik seorang wanita berusia 53 tahun iaitu jenis Toyota Hilux sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya di Batu Kawa, di sini, kira-kira jam 4.25 petang, 21 Mac tahun lepas yang mana jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.


Dalam pada itu, Hakim Dayang Ellyn turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.


Mengikut fakta kes, mangsa yang berada di dalam kenderaannya di kawasan letak kereta di Batu Kawa semasa kejadian tiba-tiba keretanya dimasuki seorang lelaki yang tidak dikenali di bahagian penumpang lalu mengacukan pisau ke arah pinggang mangsa.


Tertuduh dikatakan mengarahkan mangsa menghidupkan enjin kereta dan tidak berbuat bising.


Mangsa yang ketakutan hanya mengikut arahan sebelum ditolak keluar oleh tertuduh yang kemudiannya membawa lari kenderaan miliknya bersama beg tangan yang mengandungi dokumen penting serta telefon bimbit.


Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian lutut kanan akibat jatuh daripada kenderaan dan tiada kecederaan parah yang dialami.


Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Rahman Mohd  Hazmi dan Christopher Bada.

Next Post Previous Post