Empat pemandu mabuk ditahan

Gambar Polis Trafik Bintulu

BINTULU-- Empat individu termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki memandu dalam pengaruh alkohol dalam operasi Op Mabuk yang dijalankan pasukan polis di Jalan Bakeri Ting pada malam Ahad hingga awal pagi Isnin.


Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Siasatan dan  Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPK Sarawak dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Bintulu ini bermula dari jam 9.30 malam hingga jam 2 pagi.


"Operasi yang dijalankan menahan turut menyita tiga buah motosikal dibawah Sekyen 60 Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya," ujarnya.


Dalam masa sama katanya, operasi dijalankan turut memeriksa 152 individu dan 119 buah kenderaan pelbagai jenis.


Bagi tujuan itu katanya, sebanyak 53 saman telah dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan trafik seperti tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, nombor plat tidak mengikut peraturan (fancy), ubah suai ekzos dan tidak menggunakan tali pinggang keledar.


Bagi kesalahan individu yang memandu dalam pengaruh alkohol, kes akan disiasat di bawah Seksyen 45A(1) APJ 1987 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM 30,000 atau boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun.


"Selain itu, individu terbabit boleh hilang kelayakan  memandu tidak kurang dari dua tahun," tegasnya.


PDRM Bintulu dalam masa sama mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhemah semasa memandu serta tidak memandu dalam keadaan mabuk.

Next Post Previous Post