-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Banyak kumpulan WhatsApp berisiko tinggi jadi mangsa 'scammer'

| Jun 28, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-28T11:53:22Z
Gambar hiasan kredit Adem AY via Unsplash


PUTRAJAYA—Nombor telefon merupakan data peribadi yang paling berharga ketika ini dan berisiko digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab sama ada untuk mengaut keuntungan atau menganiaya seseorang, kata Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi Mazmalek Mohamad.

Dalam satu taklimat media mengenai data peribadi di sini hari ini, beliau menasihatkan rakyat negara ini agar tidak menyertai pelbagai kumpulan WhatsApp yang tidak berfaedah bagi mengelak berlaku perkongsian nombor telefon tanpa disedari.

“Kadang-kadang kita tidak kenal semua ahli kumpulan. Tanpa kita sedari, ada di antara ahli kumpulan  secara diam-diam kongsi nombor telefon kita dengan orang lain.

Apabila semua nombor telefon dalam kumpulan itu telah dikongsi dengan ‘scammer’ atau agensi telepemasaran, mereka akan tinggalkan kumpulan WhatsApp  dan sertai kumpulan lain pula,”  katanya  taktik berkenaan memudahkan sindiket penipuan atau telepemasaran memiliki nombor telefon secara mudah.

Menurut Kaji Selidik Pengguna Internet 2020 yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), katanya 98.7 peratus rakyat negara ini memilih aplikasi WhatsApp sebagai medium komunikasi utama.

“Jumlah ini tinggi, kalau semua nombor telefon ini dikongsi dengan mudah, maka ramai rakyat kita terdedah dengan jenayah penipuan,” katanya.

Mazmalek dalam pada itu berkata pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini dan ia kini dalam proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara.

Namun, katanya terpulang kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa untuk tarikh yang sesuai untuk dibentangkan pindaan itu di Parlimen.

Pada 12 Feb 2020, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dilaporkan telah menjalankan rundingan awam berhubung cadangan pindaan Akta 709 bagi memperkasa perlindungan data peribadi di Malaysia di samping memastikan akta berkenaan selari dengan kehendak revolusi ekonomi digital, teknologi, sosial dan perkembangan persekitaran.

-- BERNAMA
×
Berita Terbaru Update