Dua beradik ditahan cuba sogok polis RM25,000

Gambar hiasan 

SHAH ALAM—Dua beradik dipercayai anggota sindiket penyeludupan minuman keras ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana cuba menyogok wang tunai berjumlah kira-kira RM25,000 kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan umur 40-an itu dipercayai ditahan di premis perniagaan milik suspek yang juga pengurus syarikat di Kuala Lumpur dalam satu operasi bersama yang dijalankan oleh anggota PDRM Bukit Aman dan SPRM pada kira-kira jam 10 pagi tadi.


Kedua-dua suspek yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan minuman keras tanpa cukai telah menyogok wang tunai kepada salah seorang pegawai kanan polis sebagai balasan supaya mereka dilepaskan dan tidak diambil sebarang tindakan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.


Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.


Tambah beliau, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok pada jam 9 pagi untuk permohonan reman.

Next Post Previous Post