-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Bahasa mudah, sarat mesej buat masyarakat Indonesia terpikat dengan Upin & Ipin

| Jun 30, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-30T01:07:17Z
Pengarah Urusan Les' Copaque Production Burhanuddin Md Radzi (tengah) dan maskot Upin&Ipin bergambar bersama media dari Malaysia dan Indonesia semasa lawatan delegasi Ikatan Setia Kawan Media Indonesia (Iswami) di Les' Copaque Production Sdn Bhd di sini. Gambar kredit Fb Upin&Ipin

SHAH ALAM—Penggunaan bahasa yang mudah dan senang difahami antara faktor utama siri animasi popular, Upin & Ipin berjaya mendapat tempat di hati masyarakat Indonesia tanpa mengira usia.


Editor Harian Waspada Medan Muhammad Faisal Jayadi berkata siri animasi itu juga kaya dengan mesej yang positif selain karakternya yang comel.


“Upin & Ipin sangat popular di Indonesia, apatah lagi kami di Medan yang menggunakan bahasa yang hampir serupa.


 “Bukan sahaja anak-anak, saya dan isteri juga sangat minat dengan siri animasi itu selain isteri saya boleh menghafal dialog di dalam siri itu. Walaupun ia berulang-ulang, mereka (isteri dan anak-anak) tidak pernah bosan, tetap mahu menonton,” katanya ketika ditemui Bernama semasa lawatan Delegasi media Indonesia di Les' Copaque Production Sdn Bhd, di sini hari ini.


Sesi lawatan itu merupakan antara program lawatan Ikatan Setia Kawan Media Indonesia (Iswami) ke Malaysia selama empat hari bermula semalam, bertujuan membuka ruang kerjasama strategik media Malaysia dan Indonesia, selain mengukuhkan hubungan serta kefahaman dalam menangani isu yang mempunyai kepentingan bersama.


Program itu adalah kesinambungan daripada Program Pemimpin Media utama Indonesia yang hadir pada Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di Melaka, 29 Mei lepas.


Timbalan Ketua Pengarang Sindonews.com, Puguh Heryanto pula berkata animasi Upin & Ipin memperkenalkan budaya, keunikan dan keharmonian pelbagai kaum.


“Saya mengenali durian musang king menerusi siri animasi ini. Dulu, saya ingatkan ia hanyalah khayalan yang sengaja direka, rupanya ia betul-betul wujud. Saya kira Upin & Ipin menjadi duta Malaysia untuk memperkenalkan Malaysia kepada negara lain termasuk Indonesia, meskipun satu rumpun, banyak yang kita tidak tahu.


“Selain itu, ceritanya (siri itu) sangat asli mengenai kisah anak-anak di kampung di Malaysia. Walaupun berbeza agama dan bangsa, tapi bisa rukun dan harmonis,” katanya.


Antara yang menyertai program itu ialah Timbalan Ketua Pengarang IDN Times Umi Kalsum, Pengarang Urusan Majalah Tempo Bagja Hidayat, Pengarang Urusan Detik.com Erwin Dariyanto dan Pengarang Urusan Bisnis Indonesia Galih Kurniawan.


-Sementara itu, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Burhanuddin Md Radzi berkata beliau bersyukur siri animasi Upin & Ipin berjaya mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Indonesa, dan beliau merancang untuk membawa Teater Muzikal Upin & Ipin: Pin Pin Pom ke negara jiran itu tahun depan.


“Sebenarnya teater ini sepatutnya dipersembahkan di Indonesia terlebih dahulu pada 2019 namun disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda kita terpaksa hentikan. InsyaAllah, teater ini akan ke Indonesia pada awal tahun depan.


“Di Malaysia, ia dijadualkan berlangsung pada 3 dan 4 Sept ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur manakala di Singapura pada Disember,” katanya.


Katanya selain Indonesia, siri animasi itu juga semakin mendapat tempat di India dan beberapa negara lain.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update